Notis undangan berceramah hanya diterima 24 jam sebelum majlisnya bermula. Namun oleh kerana saya berkelapangan, maka undangan itu saya terima dengan gembira sekali. Saya dimaklumkan jumlah pelatih baru sekitar 50 orang, lelaki dan perempuan; ada muslim dan non-muslim. Ceramah ini adalah salah satu slot sempena minggu suaikenal buat pelatih-pelatih baru di sini.

GiatMARA Gaya terletak di jalan lama Inanam-Menggatal, tidak jauh selepas kawasan pekan Inanam. Ini pengalaman pertama saya berkunjung ke GiatMARA ini untuk mengisi buat pertama kali program keagamaan. Pengurusnya Sdr Pajar memaklumkan saya kursus diajar kepada pelatih di sini ialah penyaman udara, pendawaian elektrik, solekan dan gaya rambut.

Dalam ceramah sekitar sejam itu yang dihadiri oleh semua pelatih – muslim dan bukan muslim, saya sebutkan kepada mereka tentang empat perkara penyebab hati menjadi gelap dan empat perkara penerang hati yang saya petik daripada buku Nasoihul Ibad (Imam an-Nawawi) :

“Empat faktor menyebabkan gelapnya hati : Perut kenyang melebihi batas, bersahabat dengan orang zalim, melupakan dosa-dosa lalu dan panjang angan-angan. Empat faktor bercahayanya hati : Perut yang lapar kerana berhati-hati, bersahabat dengan orang yang baik, mengingat dan menyesali dosa lampau serta pendek angan-angan”.

Saya huraikan ungkapan ini secara santai dan bersesuaian dengan tahap belia dan beliawanis ini, dalam dalam masa yang sama saya kaitkan juga dengan kisah-kisah keperibadian dan keluhuran akhlak Rasulullah SAW termasuk dalam bermasyarakat dengan orang bukan Islam, juga soal belajar dan bekerja dengan pendapatan yang halal serta hukum hakam berkait aurat dan solekan yang menjadi salah satu kursus yang diadakan di sini.

Terima kasih undangan yang diberikan buat Sdr Pajar, juga Cikgu Ezlina yang mempengerusikan majlis dan Cikgu Saidil yang menjadi teman makan tengahari. Insya Allah, saya berminat untuk datang lagi jika diundang, mengisi sesi tazkirah secara lebih fokus dengan tajuk-tajuk tertentu bersama pemuda dan pemudi di sini.

Foto diemel oleh Sdr Pajar. Terima kasih.