Kuliah fekah menggunakan rujukan Kitab Fekah Mazhab Syafie, bimbingan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah di bilik kuliah 2 Masjid Negeri sudah berjalan sejak April tahun 2009. Ertinya kurang 2-3 bulan berusia 2 tahun. Ia berjalan setiap minggu kecuali pada bulan Ramadhan atau minggu-minggu tertentu kerana ada program lain yang bertembung.

Sepanjang tempoh itu, al-Fadhil Ustaz telah menghuraikan secara jelas setiap hukum yang berkaitan khususnya berkaitan bab bersuci dan solat yang termuat dalam jilid satu terjemahan buku berkenaan. Teks asalnya berjudul al-fiqhul manhaji ‘ala mazhab al-imam asy-syafie sebanyak 3 jilid sementara teks terjemahan adalah sebanyak 7 jilid.

Kini jilid satu sudah diselesaikan dan ustaz sudah memulakan jilid kedua mulai minggu lalu. Jilid dua dimulakan dengan bab zakat, puasa, iktikaf dan kemudian haji dan umrah. Semoga Allah SWT memberi kesihatan yang baik kepada al-Fadhil Ustaz Haji Muchlish untuk terus memimpin kelas ini sehingga akhir hayat dan kami pula dapat menghadhamkan ilmu yang diajar dalam bentuk praktikal.

Tahniah juga buat pencetus program ini Tuan Haji Md Pozi Awang selaku setiausaha Syukbah Dakwah, juga semua AJK yang bekerja keras untuk memanjangkan lagi ilmu fekah ini kepada tidak kurang 40-60 audien yang hadir secara konsisten di dalam kelas ini setiap selasa malam rabu. Bagi yang belum pernah, kami menjemput hadir tanpa sebarang apa-apa yuran dikenakan.