Archive for 9 Januari 2011


JILID DUA

Kuliah fekah menggunakan rujukan Kitab Fekah Mazhab Syafie, bimbingan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah di bilik kuliah 2 Masjid Negeri sudah berjalan sejak April tahun 2009. Ertinya kurang 2-3 bulan berusia 2 tahun. Ia berjalan setiap minggu kecuali pada bulan Ramadhan atau minggu-minggu tertentu kerana ada program lain yang bertembung.

Sepanjang tempoh itu, al-Fadhil Ustaz telah menghuraikan secara jelas setiap hukum yang berkaitan khususnya berkaitan bab bersuci dan solat yang termuat dalam jilid satu terjemahan buku berkenaan. Teks asalnya berjudul al-fiqhul manhaji ‘ala mazhab al-imam asy-syafie sebanyak 3 jilid sementara teks terjemahan adalah sebanyak 7 jilid.

Kini jilid satu sudah diselesaikan dan ustaz sudah memulakan jilid kedua mulai minggu lalu. Jilid dua dimulakan dengan bab zakat, puasa, iktikaf dan kemudian haji dan umrah. Semoga Allah SWT memberi kesihatan yang baik kepada al-Fadhil Ustaz Haji Muchlish untuk terus memimpin kelas ini sehingga akhir hayat dan kami pula dapat menghadhamkan ilmu yang diajar dalam bentuk praktikal.

Tahniah juga buat pencetus program ini Tuan Haji Md Pozi Awang selaku setiausaha Syukbah Dakwah, juga semua AJK yang bekerja keras untuk memanjangkan lagi ilmu fekah ini kepada tidak kurang 40-60 audien yang hadir secara konsisten di dalam kelas ini setiap selasa malam rabu. Bagi yang belum pernah, kami menjemput hadir tanpa sebarang apa-apa yuran dikenakan.

 

Dalam kuliah maghrib di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas, merujuk kepada situasi anak-anak yang mula memasuki usia aqil baligh, antara perkara yang ditekankan dalam agama ialah soal menutup aurat dan pergaulan mereka terhadap orang lain.

Saya menyarankan kepada jamaah yang kebanyakannya merupakan para bapa agar memahami dunia remaja masa kini yang berbeza dengan zaman mereka. Dahulu ibu bapa begitu resah melihat anak-anak remaja galak untuk keluar berpeleseran pada hujung minggu ke kompleks membeli belah, melepak bersama kawan-kawan mereka.

Gejala itu masih ada sehingga kini, tetapi sesetengah remaja barangkali sudah berkurang berpeleseran kerana lebih suka berada di rumah. Jadi ada ibu bapa yang mungkin berasa lega kerana anak-anak selesa di rumah bahkan terperap dan berkurung di dalam bilik masing-masing.

Rupanya ibu bapa tidak memahami kemajuan teknologi hari ini bahawa anak-anak mereka asyik online dengan dunia internet masing-masing. Jasad mereka berada di rumah, tetapi mereka sebenarnya sedang merayau ke merata dunia melalui alam siber. Di dalam bilik mereka sedang bersembang maya secara audio video dengan rakan-rakan mereka apatah lagi dengan menggunakan webcam dalam keadaan tidak menutup aurat dan seumpamanya.

Inilah antara cabaran globalisasi dunia tanpa sempadan dimana maklumat dapat dicapai walau kita berada di dalam bilik yang kecil asalkan akses internet diperolehi sama ada menggunakan komputer, laptop atau telefon bimbit. Kemudahan internet jika dimanfaatkan secara positif, banyak kebaikan dan pahala boleh diperolehi. Membaca al-Quran melalui internet, mendengar atau menyertai kuliah dan ceramah melalui internet dan seumpamanya.

Dalam kita menggalakkan anak-anak memiliki kemahiran dalam soal teknologi maklumat agar tidak ketinggalan zaman, jangan kita abaikan soal aqidah, syariat dan akhlak kepada mereka. Ibu bapa juga tidak wajar memberi kebebasan 100% kepada mereka. Periksalah sesekali web apa yang mereka layari, siapa teman-teman facebook dan twitter mereka, apa kandungan video klip dalam telefon bimbit mereka, apa barang lain dalam beg sekolah mereka dan sebagainya.

%d bloggers like this: