Ketika persidangan di Tawau tempohari saya ada mencadangkan agar kelas tafaqquh imam-imam yang diadakan oleh JHEAINS Pantai Barat Sabah di Masjid Negeri Sabah boleh ditiru dan diperluaskan ke seluruh negeri dengan serba sedikit pengubahsuaian dan penambahbaikan.

Kelas berkenaan sudah berlangsung hampir setahun dan saya pernah diundang beberapa kali mengisi slot yang dipohon oleh penganjur. Hanya sanya teguran saya ketika itu betapa kelas yang baik ini tiada sebarang sukatan pelajaran tertentu untuk digunapakai bersama-sama. Semuanya serba mengikut kebijaksanaan pembimbing yang sering bersilih ganti.

Alhamdulillah nampaknya cadangan itu segera disahut oleh JHEAINS Pantai Barat khususnya Ustaz Haji Hilham Mohd Noor selaku Pegawai Tadbir Agama (PTA). Bermula setiap selasa lalu (4hb Januari) dan selasa setiap minggu, kelas tahsin untuk imam-imam qaryah dan rawatib di peringkat Pantai Barat akan bertafaqquh 2 jam seminggu. Jam pertama berkenaan al-Quran dan jam kedua berkaitan fekah.

Barangkali kerana saya tukang cadang, maka saya jugalah diminta mengisi slot jam pertama sepanjang 2011 ini. Saya tidak meminta slot ini namun saya gembira sekali untuk berkongsi sedikit ilmu berkaitan bersama-sama para imam yang lain. Mudah-mudahan ini menjadi peluang terbaik untuk saya dan para imam memperbaiki diri khususnya berkaitan ilmu al-Quran seperti keutamaan dan ilmu tajwid sebagaimana yang disarankan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith yang terkenal :

“Orang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan kemudian mengajarkannya”.

Minggu pertama tempohari, oleh kerana buku rujukan hanya tiba di penghujung kelas, saya memanfaatkan pertemuan dengan satu perkongsian agar para imam bersedia dan menanamkan minat mendalami ilmu agama. Mencari kelas-kelas agama di merata tempat, dan mengimarahkan masjid dan surau masing-masing dengan kelas-kelas pengajian seperti aqidah, fekah, akhlak, tafsir, hadith, sirah nabawi dan seumpamanya.

Sekiranya ada imam-imam qaryah atau rawatib sekitar Kota Kinabalu membaca entri ini, saya bagi pihak JHEAINS Pantai Barat Sabah mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan sekalian. Saya juga tidak berhalangan jika ada orang awam yang berminat untuk bersama-sama hadir dalam majlis ilmu ini. Setiap selasa, jam 9-11 pagi di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah.