Archive for 8 Januari 2011


Seperti tahun lalu, sekali lagi tahun ini saya singgah ke Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu untuk membuat liputan ringkas dan memberi sokongan kepada kawan-kawan yang menghantar anak masing-masing ke sekolah ini, juga mengambil kesempatan bertemu sebahagian para guru yang mencurah bakti di sini.

Saya dimaklumkan pihak sekolah setakat ini telah menerima seramai 105 pelajar baru tingkatan satu pada tahun ini walaupun senarai yang dikeluarkan oleh JHEAINS adalah seramai 120 orang. Pihak sekolah juga pada awalnya hanya bersedia menerima 80 orang sahaja, namun berdasarkan desakan dan kesungguhan masyarakat khususnya ibu bapa, maka kouta asal dinaikkan kepada 120 orang.

Kemasukan ke sekolah ini selalu menjadi tumpuan ibu bapa khususnya yang sangat berminat menghantar anak mereka mendalami ilmu agama di peringkat menengah, apatah lagi jumlah mata pelajaran yang meningkat sekali ganda berbanding sekolah menengah biasa kerana subjek agama berbahasa Arab tidak kurang daripada 10 mata pelajaran keseluruhannya, menjadikan kesemua subjek sekitar 20 mata pelajaran.

Pelbagai suasana dapat disaksikan ketika sesi pendaftaran pada pagi selasa lalu. Ada ibu bapa yang barangkali baru pertama kali berkunjung ke sekolah ini begitu teruja dan bersemangat. Tidak kurang juga anak-anak yang muram kerana bakal berpisah dengan keluarga apabila mula tinggal di asrama selepas ini. Kemasukan ke tingkatan 1 sekolah ini mengambil kira keputusan peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) darjah enam yang dikendalikan oleh JHEAINS.

Antara yang kelihatan sibuk mendaftar dan menghantar anak masing-masing ialah Ustazah Dayang Masni Datu Seribu, Kak Fatmawati Wahid, Ustaz Muhashibi Razali, Puan Noor Azah Abd Rahman, Abang Jamiun Osman dan ramai lagi. Turut menarik perhatian ialah seorang pelajar lelaki berbangsa Arab dari negara Iraq bernama Zaid bin Jaafar yang turut mendaftar di sini ditemani oleh ibunya.

Blog Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan anak masing-masing yang mendapat tawaran di sekolah ini. Kesempatan peluang berada di sekolah berprestij ini merupakan satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Semoga para pelajar akan mendapat ilmu yang bermanfaat dan menimba ilmu daripada para guru di sini, seterusnya berbakti kepada masyarakat masing-masing suatu hari nanti.

 

Ketika persidangan di Tawau tempohari saya ada mencadangkan agar kelas tafaqquh imam-imam yang diadakan oleh JHEAINS Pantai Barat Sabah di Masjid Negeri Sabah boleh ditiru dan diperluaskan ke seluruh negeri dengan serba sedikit pengubahsuaian dan penambahbaikan.

Kelas berkenaan sudah berlangsung hampir setahun dan saya pernah diundang beberapa kali mengisi slot yang dipohon oleh penganjur. Hanya sanya teguran saya ketika itu betapa kelas yang baik ini tiada sebarang sukatan pelajaran tertentu untuk digunapakai bersama-sama. Semuanya serba mengikut kebijaksanaan pembimbing yang sering bersilih ganti.

Alhamdulillah nampaknya cadangan itu segera disahut oleh JHEAINS Pantai Barat khususnya Ustaz Haji Hilham Mohd Noor selaku Pegawai Tadbir Agama (PTA). Bermula setiap selasa lalu (4hb Januari) dan selasa setiap minggu, kelas tahsin untuk imam-imam qaryah dan rawatib di peringkat Pantai Barat akan bertafaqquh 2 jam seminggu. Jam pertama berkenaan al-Quran dan jam kedua berkaitan fekah.

Barangkali kerana saya tukang cadang, maka saya jugalah diminta mengisi slot jam pertama sepanjang 2011 ini. Saya tidak meminta slot ini namun saya gembira sekali untuk berkongsi sedikit ilmu berkaitan bersama-sama para imam yang lain. Mudah-mudahan ini menjadi peluang terbaik untuk saya dan para imam memperbaiki diri khususnya berkaitan ilmu al-Quran seperti keutamaan dan ilmu tajwid sebagaimana yang disarankan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith yang terkenal :

“Orang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan kemudian mengajarkannya”.

Minggu pertama tempohari, oleh kerana buku rujukan hanya tiba di penghujung kelas, saya memanfaatkan pertemuan dengan satu perkongsian agar para imam bersedia dan menanamkan minat mendalami ilmu agama. Mencari kelas-kelas agama di merata tempat, dan mengimarahkan masjid dan surau masing-masing dengan kelas-kelas pengajian seperti aqidah, fekah, akhlak, tafsir, hadith, sirah nabawi dan seumpamanya.

Sekiranya ada imam-imam qaryah atau rawatib sekitar Kota Kinabalu membaca entri ini, saya bagi pihak JHEAINS Pantai Barat Sabah mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan sekalian. Saya juga tidak berhalangan jika ada orang awam yang berminat untuk bersama-sama hadir dalam majlis ilmu ini. Setiap selasa, jam 9-11 pagi di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah.

%d bloggers like this: