Alhamdulillah tiga orang anak memulakan minggu pertama persekolahan dengan baik. Tahun berubah, umur meningkat dan insya Allah kualiti dan prestasi diharap semakin baik untuk anak-anak. Saya mengambil sedikit waktu sebelah pagi isnin untuk bersama mereka, menghantar dan melihat kelas-kelas mereka sebelum bergerak ke pejabat.

Nuha yang bersekolah di SK Kem Lok Kawi dalam darjah dua, mulai tahun ini berada di sesi pagi setelah pihak sekolah mengadakan sekolah satu sesi untuk semua pelajar tahun  satu hingga enam. Tahun lalu dia bersekolah agama pada sebelah pagi di Sekolah Agama Kem Lok Kawi dan SK Kem Lok Kawi pada sebelah petang.

Oleh kerana sekolah kebangsaan sudah di sebelah pagi, Nuha kembali bersekolah agama di Pusat Pendidikan Islam an-Nur Taman Austral pada sebelah petang dalam darjah tiga. Bukan sekali dia merungut dan minta pindah sekolah kerana tidak tahan perangai kawan-kawannya di sekolah agama dalam darjah dua pada tahun lalu yang selalu menyindir dan memulaukannya hanya kerana dia baru berumur 7 tahun dan dianggap budak (kononnya!).

Hana dan Hadi meneruskan pra sekolahnya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah Taman Pasir Putih Putatan. Hana dalam kelas umur 6 tahun dan Hadi dalam kelas umur 5 tahun. Mudah-mudahan prestasi Hana khususnya tahun ini melonjak sebelum meninggalkan PASTI dan melangkah ke alam persekolahan sebenar tahun hadapan. Pada sebelah petang, Hana tahun ini mula bersekolah agama darjah satu di PPI an-Nur Taman Austral juga.

Secara umum, prestasi anak-anak pada semester kedua tahun lalu di sekolah masing-masing sedikit merosot. Barangkali faktor kelalaian kami sebagai ibu bapa sedikit sebanyak turut menyumbang prestasi akademik mereka. Namun untuk pengajian agama mereka, ada sesuatu yang saya sasarkan khususnya tentang pengajian al-Quran mereka tahun ini. Saya berharap Nuha akan khatam tahun ini, Hana akan memulakan al-Quran dalam sedikit masa (sudah iqra 6) dan Hadi memulakan iqra yang tertangguh.

Semoga diberi kekuatan.