Archive for 4 Januari 2011


HAJI MANSUR MOHAMMAD

Saya tidak lama mengenal beliau, Tuan Haji Mansur Mohammad 67 tahun. Namun perkenalan itu bermula di masjid kerana selalu berjamaah dan minat beliau pada kuliah dan ceramah yang diadakan di sekitar Kinarut, Putatan dan Masjid Negeri.

Saat saya mengenali beliau dan bercerita tentang kuliah-kuliah yang saya sampaikan, beliau akan hadir dan turut sama. Antaranya ke Surau Taman Limauan, Masjid Kg Sipanggil, Masjid Kg Muhibbah Petagas dan juga kuliah lepas isyak di Masjid Negeri Sabah. Jika ada ceramah khas di mana-mana, beliau akan menghadirkan diri. Benar kata Haji Nasip, kelas pengajian di Masjid Negeri kehilangan seorang lagi peminat ilmu.

Beliau sebenarnya seorang ahli korporat yang low profile tetapi selalu menyumbang untuk Islam. Saya mengetahui demikian kerana pernah beberapa lagi melakukan program dakwah di pedalaman untuk muallaf dan beliau antara penyumbangnya. Anak-anaknya turut belajar agama dan sering dibawa ke program keagamaan.

Kami mengadakan sedikit majlis perpisahan buat beliau beberapa malam lalu di Kinarut, mengucapkan terima kasih atas sumbangannya mengimarahkan masjid dan surau serta menjadi penyumbang tetap dalam banyak program dakwah, baik disedari atau tidak. Ternyata beliau tidak dapat menahan sebaknya kerana sudah 11 tahun berada di Sabah meninggalkan kampung halamannya di Pasir Mas Kelantan.

Yang jelas beliau menyatakan perasaan kasihnya kepada Sabah, justeru meskipun selepas ini balik ke Semenanjung beliau sudah membeli tiket datang ke Sabah setiap bulan meskipun untuk hanya beberapa hari sehingga hujung tahun nanti. Insya Allah ada umur bertemu.

Bagi pihak kawan-kawan, terima kasih tidak terhingga buat Haji Mansur dan isteri Hajah Rohaizah Che Daud serta anak-anak

Selesai saya merakam foto ini, Tun bertanya : Ustaz, sejak bila pandai ambil gambar? Saya kata, sudah lama. Sebenarnya saya tidak menampakkan kecenderungan menggambar ketika bertugas di istana.

Jujurnya, seminggu dua kebelakangan saya asyik teringatkan beliau. Justeru beberapa bulan dan minggu sebelum ini saya sering berhubungan dengan kawan-kawan di Istana Negeri bertanya ura-ura pengganti TYT. Khabar dan gosip ketika itu terlalu banyak berterbangan sehinggalah Datuk Juhar Mahiruddin diumum sebagai TYT ke-10 menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah menjelang 1 Januari lalu.

Tempoh setahun empat bulan berkhidmat bersama Tun Ahmadshah (Nov 2006-Feb 2008) sebagai pegawai agama istana tidak terlalu lama tetapi banyak memberi ilmu dan pengalaman berguna buat saya sendiri. Saya mengenali sedikit sebanyak keperibadian beliau yang peramah, merendah diri dan sering mengetepikan protokol khususnya dalam beliau merapati rakyat dan masyarakat kampung.

Di dalam blog ini saya pernah menceritakan betapa tidak senangnya beliau disediakan sejadah yang terlalu besar ketika menyertai solat jumaat, sehingga orang di kiri atau kanannya tidak mahu merapatkan saf di dekatnya. Peristiwa itu berlaku di Masjid Daerah Sandakan dan menjadi pengalaman berguna buat kami yang menyaksikannya.

Ketika menyertai solat tarawih di Masjid Kampung Bangka-Bangka Likas dan Surau Kampung Kobuni yang kecil, ramai terkejut dan tercengang melihat beliau hanya duduk bersila di lantai untuk moreh bersama-sama penduduk kampung, padahal beliau juga berasal dari kampung seperti mereka. Masyarakat bawahan sering dihadapkan bahawa orang-orang besar seperti mesti makan bermeja, bersudu, bergarfu dan seumpamanya serta terikat dengan protokol ciptaan manusia.

Pernah suatu Ramadhan, selepas Jumaat ramai kawan-kawan menghubungi saya kerana terserempak Tun Ahmadshah berjalan-jalan membeli kurma di ruang legar Wisma MUIS di tengah kesesakan orang ramai. Saya ketawa, dan mengejutkan lamunan dan hairan mereka bahawa Tun Ahmadshah itu adalah seorang manusia, bukan malaikat.

Di dalam istana sendiri, Tun Ahmadshah sedia ditemui sekiranya pegawai ada masalah dan persoalan untuk diajukan kepada beliau. Bahkan saya pada awal perkhidmatan di sana, saya diberi peluang bertemu di bilik mengadap dan meluahkan perasaan saya hampir sejam lamanya berdua bersama beliau. Saya akui beliau seorang pendengar yang baik dan memberi peluangĀ  untuk saya melaksanakan cadangan sebagaimana yang saya pinta.

Bahkan ada ketikanya beliau sendiri yang datang ke bilik pegawai untuk berbincang dan bercerita, bukan kita yang mengadap beliau dan saya pernah mengalami peristiwa itu dalam suatu Ramadhan. Kata petugas di istana, antara bahan bacaan yang sering menjadi bacaan beliau ialah al-Quran, tafsir pimpinan ar-Rahman, ada juga kelihatan buku barzanji. Mereka mengetahuinya kerana buku-buku sedemikian berada di atas meja ruang tamu dan bukan tersimpan kemas di almari.

Pengalaman berharga ialah dalam tempoh mengiringi beliau dalam solat-solat Jumaat di merata tempat. Beliau memberi ruang dan kebebasan kepada saya untuk menulis khutbah sendiri, dan itu jelas memberi pengajaran berguna apabila saya menulis sekitar 50 teks khutbah sendiri pelbagai tajuk untuk disampaikan mengikut suasana setempat.

Oleh yang demikian, jika berada di kawasan bandar saya akan mengetengahkan isu yang lebih besar dan global, manakala jika di kampung-kampung, tajuk-tajuk ringan tetapi penting akan disampai seperti berkenaan perkahwinan, kekeluargaan, perpaduan dan seumpamanya. Beliau selalu menceritakan keinginannya untuk solat di masjid kampung-kampung bertemu rakyat jelata serta menyampaikan sumbangan peribadinya.

Kepada saya pernah dibisikkannya agar mencari masjid yang uzur dan bermasalah agar boleh dilawati dan dibantu. Bersama beliau juga kami pernah menyertai solat jumaat di sekolah-sekolah dan IPT yang tidak dilakukan sebelum ini seperti di Politeknik Sepanggar, UiTM Kota Kinabalu, SMK Kolombong, MRSM Kinarut dan SMKA Agama Inanam (kini dinamakan SMKA Tun Ahmadshah yang mula dicadangkan sejak awal 2008 selepas kunjungan jumaatnya).

Memang kadang-kadang dalam berkhutbah saya agak keras dan tegas tetapi beliau tidak pernah mengomen atau menegur khutbah saya. Tapi yang sibuk ialah orang di luar yang resah dan risau dengan sesetengah khutbah saya yang dianggap berani menegur. Saya pernah meluahkan kepada beliau tentang kebimbangan orang di luar berkenaan khutbah saya itu. Komennya kepada saya mudah, memang khutbah ini untuk menegur orang, katanya.

Jumaat 31 Disember di kampungnya sendiri, Masjid Jamek Tun Ahmadshah Kampung Inanam Laut dipenuhi jamaah. Hadir sama Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman, Timbalannya Haji Rumaling Epit dan Ketua Pendakwa Syarie Ustaz Sakaria Samela. Masjid ini baru dirasmikan olehnya sendiri pada 22 Oktober lalu. Masjid ini juga menjadi kenangan manis saya kerana ketika ia baru siap dan digunakan, saya menjadi khatib yang pertama merasmikannya.

Saya sebenarnya sudah merancang untuk berkata sesuatu sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kepadanya. Namun semuanya tidak menjadi dan lidah saya menjadi kelu. Saya memegang erat tangannya dua kali dan bergambar berdua kenangan. Malangnya kamera yang merakam bukan milik saya, tetapi seorang jurufoto bernama Adam dan sehingga kini saya masih menanti foto itu dikirim kepada saya.

Kepada Tun Ahmadshah Abdullah, saya mengucapkan terima kasih atas kebaikan yang dicurahkan dan insya Allah saya akan mengingati kebaikan beliau dan kenangan manis sepanjang perkhidmatan bersamanya. Selamat bersara dan semoga Allah SWT merahmati hidup Tun.

%d bloggers like this: