Archive for 3 Januari 2011


Khatib : Ustaz Haji Imran Anggun al-Hafiz

Tempat : Masjid Jamek Tun Ahmadshah Kampung Inanam Laut

Perubahan hari ke minggu, minggu ke bulan, bulan ke tahun memberi suatu petanda yang sangat besar dalam kehidupan manusia iaitu bahawa kehidupan di dunia yang berstatus sementara, menghampiri kematian yang pasti ditempuhi oleh semua makhluk yang hidup.

Mengetahui tempoh kehidupan yang amat singkat, justeru sebagai hamba Allah yang beriman dengan adanya kematian dan kebangkitan semula pada hari  kiamat  hendaklah melakukan persiapan dengan menyediakan amal kebaikan sebagai bekalan bertemu dengan Allah SWT. Kesempatan lima masa  hendaklah direbut sebaik-baiknya sebelum bertemu lima perkara.

Muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum fakir, lapang sebelum sempit, dan hidup sebelum mati.

Seingat saya, saya mula mengajar mengaji iqra dan seterusnya al-Quran bermula dengan kanak-kanak dan remaja pada tahun 1997 di kampung Sembulan Tengah di rumah keluarga mertua abang sulung saya. Saya juga pernah terlibat mengajar mengaji kepada saudara kita di Masjid Bandaraya, Likas.

Gaya dan pendekatan saya  ialah mengambil jalan yang susah kepada pelajar, iaitu mengaji seorang demi seorang bagi memastikan mereka boleh membaca secara individu.  Walaupun ada kawan-kawan yang mengajar dengan cara beramai-ramai dan serentak, saya tidak berkenan untuk saya praktikkan kaedah itu dalam kaedah mengajar saya.

Saya mahu melazimi mereka dengan sikap bersabar dan istiqamah dalam pembelajaran al-Quran (bahkan dalam ilmu apa juga sebenarnya). Kaedah itu, ada orang yang suka kerana sebahagiannya merasa tercabar dan mahu ditegur secara langsung, bukannya berselindung di balik kepandaian rakan-rakan mereka jika membaca secara serentak dan bersama-sama.

Namun ramai juga yang tidak suka kaedah itu. Kebanyakan alasan yang saya ketahui, kaedah itu lambat. Bukan lambat pandai, tapi lambat habis kerana saya mahu setiap orang khatam dengan tilawah masing-masing. Tidak mengapa kerana saya merasakan itu adalah proses pemutihan dan menguji kesabaran saya dan juga mereka.

Kaedah demikian juga saya terapkan semasa kelas al-Quran di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) sejak April 2008 setiap tengahari isnin hingga khamis. Ia bermula dengan 3-4 orang, kemudian bertambah sehingga lebih 13 orang dan kemudian susut sedikit demi sedikit. Saya berhadapan dengan pelajar yang lebih berusia berbanding saya.

Pada 29 Disember lalu, setelah melalui tempoh antara dua tahun hingga dua tahun setengah, ada enam orang kumpulan pertama menamatkan kelas talaqqi al-Quran mereka. Saya bersyukur kerana satu majlis meriah mereka adakan di ruang legar pejabat berkenaan dengan dihadiri sendiri oleh Pengerusi SPANS Datuk Haji Ismail Awang Besar dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang tampil sebagai penceramah undangan.

Wakil di kalangan mereka berenam tampil berucap. Encik Mumin Rasam yang juga ketua kampung di Cenderamata Likas sebak dan mengalirkan air mata di hadapan yang hadir. Majlis ini suatu yang istimewa bagi mereka dan bermakna bagi saya juga. Saya melihat perubahan yang sangat baik di kalangan mereka dan paling menonjol sekali ialah Encik Mumin Rasam sendiri. Bukan setakat mengajinya, tetapi saya tahu beliau semakin rajin berjamaah di masjid.

Cik Hassa Matjin yang paling saya kagumi, memiliki kelas bacaan yang tersendiri dan terbaik sejak awal sementara Sdr Jamri Awang Damit dan Metan Julan tidak kurang kelancaran mereka dan sering bersaing sesama mereka. Kak Jijah Sirom barangkali antara yang teruk ‘menderita’ dengan teguran dan sasaran kemarahan saya. Namun saya wajar tabik kepadanya yang cukup bersabar menerima teguran bermula dari iqra sehingga khatam al-Quran dalam tempoh dua tahun setengah. Tuan Haji Said sebagai antara pelopor kelas ini walaupun yang terakhir khatam tetapi tetap bersungguh apatah lagi beliau melihat satu demi satu rakannya khatam al-Quran lebih awal.

Saya menyanjung tinggi tazkirah Ustaz Haji Muchlish yang mengingatkan agar pengajian al-Quran tidak sepatutnya habis dengan hanya belajar membaca. Belajar membaca al-Quran merupakan satu permulaan, bukan suatu penamat. Beliau turut mengungkapkan bahawa majlis khatam adalah suatu majlis yang dirahmati, disertai oleh para malaikat utusan Allah SWT. Biarlah majlis khatam dan sijil khatam berkali-kali pun tidak mengapa, katanya.

Saya terus dipelawa untuk mengajar al-Quran kepada warga SPANS, namun saya terpaksa menjelaskan bahawa saya mesti memberi tumpuan terlebih dahulu kepada beberapa peminat al-Quran di beberapa buah jabatan dan syarikat swasta lain yang turut menempah saya lebih awal sebelum kembali ke sini. Bahkan sedang majlis khatam berlangsung, saya sempat dihubungi lagi oleh wakil sebuah jabatan yang lain.

Saya wajar berterima kasih tidak terhingga khususnya kepada Datuk Haji Ismail Awang Besar atas sokongan beliau dalam program ini sejak awal lagi, juga bantuannya yang tidak henti-henti kepada saya, juga Setiausaha SPANS Tuan Yunos yang juga pernah bersama-sama mengaji pada peringkat permulaan. Saya dikhabarkan beliau sedang bercuti sebelum bersara wajib dalam tempoh terdekat. Seterusnya kepada seluruh JK Badan Kebajikan Islam SPANS warga SPANS amnya. Insya Allah, saya masih mahu menyumbang di SPANS suatu hari nanti.

 

%d bloggers like this: