Archive for 2 Januari 2011


SOLAWAT KE ATAS RASULULLAH

Kuliah maghrib di Masjid Nurul Ihsan, Kampung Lok Kawi Baru menyambung huraian kitab al-Azkar susunan Imam an-Nawawi. Antara isi-isi penting di dalam tajuk besar ‘Solawat ke atas Rasulullah SAW’ adalah seperti berikut :

Firman Allah SWT (bermaksud) : “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersolawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, bersolawatlah kamu dan ucapkanlah salam ke atasnya dengan sesungguh-sungguhnya”.

Antara hadith-hadith berkenaannya (bermaksud) :

1) Daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang bersolawat ke atasku sekali, Allah bersolawat kepadanya 10 kali”. (HR Muslim)

2) Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Manusia yang paling utama denganku pada hari kiamat ialah mereka yang paling banyak solawatnya” (HR Muslim)

3) Daripada Aus bin Aus RA, Rasulullah SAW bersabda :  “Sesungguhnya hari kamu yang paling utama ialah jumaat, maka perbanyakkanlah solawat ke atasku pada hari berkenaan, kerana sesungguhnya solawat kamu itu akan dibentangkan kepadaku. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah! Bagaimana disampaikan solawat itu kepadamu sedangkan engkau sudah wafat? Nabi menjawab : Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi untuk memakan jasad para Nabi”. (HR Abu Daud, an-Nasa’i dan Ibnu Majah)

4) Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Jangan kamu jadikan kuburku tempat perayaan, bersolawatlah kamu kepadaku. Sesungguhnya solawat kamu akan sampai kepadaku di mana saja kamu berada”. (HR Abu Daud)

5) Daripada Ali RA katanya, Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang bakhil ialah apabila disebutkan namaku di dekatnya, dia tidak bersolawat pun kepadaku” (HR at-Tirmizi)

Berkenaan hadith ini menurut Imam at-Tirmizi, para ulama mengomentari hadith ini dengan mengatakan bahawa jika seseorang bersolawat sekali sahaja dalam satu majlis yang disebut nama Nabi SAW, itu pun sudah memadai walaupun dalam majlis berkenaan nama Nabi SAW disebut beberapa kali dan itu melepaskannya daripada termasuk orang yang bakhil.

Disunnatkan bagi seseorang yang membaca hadith atau pendengarnya, apabila disebutkan nama Nabi SAW, dia menyahut dan menyambut dengan menguatkan sedikit suaranya dengan bersolawat ke atas Rasulullah SAW.

Disunnatkan juga memula dan membuka doa dengan tahmid dan solawat ke atas Nabi SAW sebagaimana hadith Nabi SAW : “Apabila seseorang kamu berdoa, hendaklah ia memulakannya dengan memuji tuhannya kemudian bersolawat ke atas Nabi SAW, kemudian berdoalah semahunya” (HR Tirmizi). Demikian juga menyudahi doa dengan solawat dan tahmid adalah dituntut.

Disunnatkan juga mengucapkan taraddhi dan tarahhum ke atas sahabat, tabiin dan orang sesudah mereka daripada kalangan ulama’, orang soleh dan seumpamanya dengan berkata : Radhiyallahu anhu atau rahimahullah atau seumpamanya.

Demikian antara isi penting kuliah berkenaan. Untuk lanjutnya sila dapatkan kitab berkenaan di pasaran sama ada bahasa Arab mahupun terjemahan. Wallahu a’lam.

Abang Dzulkeflee adalah kenalan kami para siswa awal di Maahad Tahfiz al-Quran ketika kami tinggal berjiran selama 3 tahun di Grace Court Sembulan antara tahun 1997-1999.  Beliau dan keluarganya menjadi teman sembang dan susah senang kami ketika itu.

Sudah beberapa tahun, saya sendiri terputus hubungan dengan beliau apatah  lagi kami menyambung pelajaran. Dalam tempoh setahun kebelakangan inilah rasanya kami bertemu semula. Antaranya ketika saya menyampaikan tazkirah menjelang Ramadhan di Bahagian Audit Jabatan Pelajaran Sabah tahun lalu, saya bertemu semula dan berbual lebih panjang dengan abang Zul.

Pada 25hb Disember lalu, Abang Zul mengundang saya dan kawan-kawan lama untuk hadir ke kenduri kesyukuran sempena kelahiran anaknya yang ke-4 pada 1.11.2010 lalu dan juga sempena rumah barunya di Taman Sungai Wang, Kinarut. Selain keluarga terdekat, turut hadir dua rakan baik kami, Haji Yakob Jilun dan Imam Abdul Amir Mohd Arapa. Tahniah kepada abang Zul, isterinya Kak Rosnaini Sabli dan keluarga. Semoga berbahagia.

Semua foto diambil oleh anakanda Nuha Wafiyyah.


 

%d bloggers like this: