Ini entri pertama tahun 2011. Buku nipis yang baru siap ini pun adalah buku pertama saya tulis. Ia diterbitkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sempena Sambutan Maal Hijrah 1432 Peringkat Negeri, dicetak oleh Jabatan Cetak Kerajaan dan diedar secara percuma kepada orang awam. Namun sedikit bermasalah kerana tidak dapat diedarkan tepat 1 Muharram lalu sebagaimana perancangan awalnya.

Pengalaman menulis buku khususnya buat pertama kali menimbulkan perasaan yang bermacam-macam kepada diri sendiri. Teruja, gembira, bimbang, takut, dan bermacam-macam. Mana tidaknya, masa yang diberikan hanya sekitar 3 minggu untuk menyiapkan bahan berkenaan. Tidak tebal, cuma 83 muka surat sahaja yang sempat saya tuliskan. Paling susah saya rasakan ialah apabila mencari bahan-bahan rujukan seperti buku-buku dan laman-laman web yang berkaliber.

Mujurlah ada sedikit koleksi buku di rumah yang boleh dijadikan asas, selain bantuan guru-guru dan rakan-rakan yang memberi pendapat berkenaan tulisan yang saya catatkan. Untuk bahan-bahan dan garapan idea, saya terhutang budi antaranya kepada Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, Ustaz Hamdani Omar dan Kak Norsidah Idris (isteri Allahyarham Ustaz Nahar) yang meminjamkan buku koleksi Allahyarham dan juga beberapa rakan lain.

Mencari dan menulis sumber rujukan bagi saya adalah antara cabarannya. Misalnya, saya mengetahui satu riwayat atau kisah yang masyhur tetapi untuk dicatat melalui buku ini, saya perlukan rujukan asal sebagai pembuktian, perkongsian dan rujukan pembaca belakang hari. Untuk menulis buku ini saya merujuk tidak kurang 25 buku rujukan termasuk kitab-kitab online berbahasa Arab seperti kitab tafsir dan sebagainya.

Ada juga senarai rujukan yang tidak dicatatkan di dalam buku ini kerana bimbang disalah ertikan (baca : dihentam atau dimarah) oleh pembaca tertentu kerana penulisnya adalah ulama’ haraki. Maka walaupun tanpa dicatat buku rujukan mereka, ilmu mereka tetap saya selitkan di dalamnya walau sedikit.

Saya rasa wajar menyebutkan nama-nama mereka secara khusus bagi merakamkan terima kasih saya yang tidak terhingga antaranya kepada Ustaz Musally Moksin yang memberi peluang saya menulis buku terbitan JHEAINS ini; rakan-rakan usrah yang banyak memberi idea hasil pertemuan saban minggu sejak 5 tahun lalu; isteri dan anak-anak yang sangat memahami kerana tempoh singkat tersebut adalah masa genting saya sehingga selalu lewat pulang ke rumah; dan terakhirnya kepada Saudara Hadnan Aliamat  rakan sepejabat yang banyak berkongsi kepakaran beliau dalam soal editing serta reka bentuk kulit dan dalaman buku ini walaupun beliau sering  sendirian sehingga lewat malam menyiapkan bahan yang diamanahkan ini.

Baru dicetak di Jabatan Cetak Kerajaan, dan belum pun saya sentuh hasilnya, bekas rakan sepejabat Haji Jefry Siman adalah orang pertama mengucapkan tahniah atas penerbitan buku ini. Begitu juga rakan-rakan di FB telah mengucapkan tahniah sebelum itu. Hasil ini juga saya tujukan khusus kepada rakan-rakan pendakwah yang sudah kembali ke Semenanjung seperti Ustaz Haji Abdullah Din (yang mencabar saya untuk menulis), Che’gu Jamil, Ustaz Md Khidir, Ustaz Hafizullah dan ramai lagi. Namun disebalik keterujaan itu, terselit kebimbangan justeru saya pohon kemaafan seandainya berlaku kesilapan fakta, hujah, ayat dan sebagainya yang terdapat di dalam buku tersebut sehingga boleh mengelirukan pembaca.

Tentang menulis buku atau artikel dalam majalah secara komersil, saya sudah dipelawa oleh beberapa orang, antaranya Ustaz Zahazan Mohamed dan beberapa penerbit buku di Semenanjung. Kepada Ustaz Zahazan sudah saya hantar artikel permintaannya sementara yang lain saya masih memikirkannya. Kepada Allah SWT saya pulangkan untuk Dia menilainya, semoga ada manfaat untuk saya, semua yang terlibat dan mereka yang membacanya.

Sekali bermula, saya berharap tidak akan berhenti. Allahu akbar, walillahilhamd.