Siri kedua ini mendapat sambutan yang lebih hangat dengan sejumlah hampir 200 peserta mengikuti kursus pengurusan janazah siri 2 anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah pada 25 Disember lalu. Ia dibimbing oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, sementara ketika sesi praktikal turut disertai oleh isteri beliau Ustazah Hajah Elfi yang membimbing peserta muslimat.

Seringkali apabila berlaku kematian, pihak masjid dan surau dicari. Bukan semata-mata kerana penghormatan kepada JK Masjid atau surau, tetapi kerana dalam keluarga si mati, tiada siapa yang mengetahui cara dan kaifiat mengurus janazah, bermula daripada mandi, kafan, solat dan tanam. Pendeknya pengurusan janazah sudah seperti diswastakan, sedangkan orang yang lebih utama memandikan ialah ahli keluarga si mati.

Sayang sekali saya tidak dapat menyertai daripada awal sehingga akhir sedangkan saya hanya hadir sebentar di tengah-tengah program, bahkan dipinta Ustaz Haji Muchlish pula untuk bercerita pengalaman menarik mengurus janazah muallaf yang awalnya diurus secara Kristian oleh keluarganya. Saya tiba dari Tawau sekitar jam 10.30 pagi, balik sebentar ke rumah dan terus ke Masjid Negeri.  Selepas zuhur pula saya ada dua undangan yang sudah saya janji untuk hadir.

Saya berharap akan dapat hadir penuh pada program yang akan datang dan saya ada cadangan untuk menambahbaik program ini khususnya dalam soal praktikal mandi, kafan, solat dan tanam. Alangkah baiknya kalau tukang-tukang gali kubur dapat dikumpul dan dikursuskan semula apatah lagi terdapat kubur yang tidak menepati ukuran kiblat. Meski dipanggil ustaz, saya hanya berpeluang sesekali mengurus janazah apatah lagi turut memandi dan mengkafankan. Pengalaman soal itu sangat sedikit dan cetek sekali walaupun saya boleh.

Foto-foto di bawah saya salin dari FB Aliamat Amran.