Archive for Disember, 2010


ANIS INSYIRAH

Malam rabu, kami sekeluarga berziarah ke kenduri kesyukuran rumah sahabat Saharuddin Ibrahim di Taman Indah Permai meraikan anak ketiga mereka yang selamat dilahirkan pada 17 Dis lalu di Hospital Pakar, Damai. Alhamdulillah, nampaknya anak dan ibu kedua-duanya sihat.

Ramai rakan-rakan tetamu yang hadir mengucapkan tahniah. Majlis yang sama diadakan tahnik dan pengisytiharan nama kepada anak ini. Semoga menjadi anak yang solehah.

Ustaz Najion Jamil, pegawai di pejabat kami telah mencadangkan nama beliau dalam program ‘Bicara Hijrah : Isu-Isu Aqidah siri 1’ tempohari. Masalah sihir , perbomohan memang banyak berlaku di Sabah. Bahkan ada dikalangan orang agamawan sendiri terjebak atau terfitnah dalam institusi yang dipanggil rawatan perubatan Islam dan seumpamanya.

Apabila nama beliau dicadangkan dan kawan-kawan di pejabat semuanya bersetuju, saya tuliskan surat undangan dan kemudian ditandatangani oleh Timbalan Pengarah (Bahagian HEI) Ustaz Sidik Ag Adi tanpa sebarang komen. Sejurus itulah saya hubungi langsung al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Mendapatkan nombor telefon beliau juga satu kerja yang melucukan. Sejak awal memikirkan cara menghubungi beliau, saya bertanya juga kawan-kawan di Semenanjung. Tiada yang tahu caranya. Kemudian saya teringat web Persatuan Perubatan Islam Darussalam yang beliau asaskan dan menjadi penasihatnya. Di sanalah semuanya bermula.

Ketika saya berhubung dengan orang di pejabat pusat rawatan itu, saya dimaklumkan ustaz masih di Tanah Suci dan akan balik dalam masa yang terdekat. Saya diminta menghubungi ustaz sendiri dan bertanya jadual pergerakan aktiviti dakwah beliau. Saya tanya : “Ustaz ada PA atau pembantu peribadi yang mengatur jadualnya?” (Kerana saya memahami kesibukan beliau). Maka jawapannya : “Tiada”. Terkejut juga saya mendengar jawapan itu kerana semua maklum beliau orang yang sibuk dengan undangan ke merata tempat.

Saya nantikan beberapa hari kemudian untuk memberi keselesaan kepada ustaz sebelum menghubunginya. Takut dan bimbang benar saya bercakap dengan beliau, bimbang-bimbang undangan kami bertembung dengan program beliau yang lain.

Saya memperkenalkan diri sebagai anak murid beliau dari Sabah. Memang kalau bertemu muka mungkin boleh dibilang dengan jari. Tetapi mengikuti ceramah beliau melalui kaset, cd, vcd dan lewat internet sudah saya ikuti lebih 10 tahun. Bahkan pernah menemani beliau tidur bermalam ketika kunjungan ustaz ke Sabah pada Ogos 2000 ketika beliau sebagai ADUN Gombak Setia. Saya ikuti ceramah beliau dari satu lokasi ke satu lokasi ketika itu. Papar, Likas, Sepanggar, hingga ke Kota Belud.

Saya kira ustaz turut terkejut apabila saya menyatakan hasrat mengundang beliau ke Sabah atas nama JHEAINS pada 21 Disember. “Aik, boleh pulak?” kata beliau. Saya kata, surat undangan sudah ditandatangani sekiranya beliau sudi. Dia minta masa beberapa saat melihat jadual dan kemudian menjawab : “Tarikh tu kosong dan boleh bincang”. Saya maklumkan tajuk dan sasaran kehadiran, dan dengarnya beliau gembira. Saya sendiri sangat gembira tidak terkata atas persetujuannya untuk hadir ke Sabah.

Saya memahami perasaan terkejutnya kerana sekatan di banyak tempat kepada beliau. Beberapa bulan lalu, beliau diundang menyampaikan ceramah di negara Brunei Darussalam dan kemudian keesokannya singgah ke WP Labuan seterusnya ada slot ceramah di Masjid Jamek an-Nur. Khabarnya imam masjid telah dipanggil oleh pihak berkenaan kerana mengundang ustaz berceramah.

Dalam sembang kami tengahari 21 Disember lalu di Wisma MUIS sebelum ceramah bermula, beliau bercerita ada satu lokasi di Semenanjung (saya lupa di kawasan mana yang ustaz sebut)  yang masih menghalang beliau berceramah, termasuk melarang membaca doa sebagai ganti ceramah tersebut. Akhirnya kata ustaz, keesokan harinya polis yang menyekat ceramah dan berdoa itu bisu secara tiba-tiba. Beliau sendiri datang menziarahi polis berkenaan. Moralnya, jangan kurang ajar dengan alim ulama’.

Saya dan kawan-kawan mendapat respon yang sangat positif dengan program ini termasuk keterbukaan JHEAINS mengundang Ustaz Ismail Kamus dalam membincangkan tajuk sihir dan perbomohan kerana beliau adalah orang yang pakar dan sering berhadapan dengan isu sebegini. Demikianlah sepatutnya kita menilai dan meletakkan kedudukan alim ulama serta mengambil ilmunya untuk kebaikan bersama.

Sudah berlalu beberapa hari program ini barulah saya dapat membuat sedikit catatan berkenaannya. Secara sembang-sembang, hasrat mengadakan projek ini sudah lama saya luahkan kepada ketua bahagian saya, Ustaz Musally Moksin. Secara lebih serius, ia diurus kurang daripada tempoh sebulan sebelum tarikh program berlangsung pada 21 Disember lalu di Dewan Saadah Wisma MUIS.

Sebelum kertas konsep dibentang dalam mesyuarat, saya ada berbincang dengan Timbalan Pengarah – Ustaz Sidik Ag Adi tentang tarikh berkenaan. Saya hubungi penceramah yang dicadangkan lebih awal dan jabatan yang berkaitan iaitu JAKIM Putrajaya dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ketetapan melalui kertas konsep yang saya bentangkan mencadangkan tarikh yang sama, hanya sasaran kehadiran dan tempat berubah. Asalnya kehadiran disasarkan kepada 150 sahaja ditujukan kepada pegawai-pegawai agama di JHEAINS, JAKIM, Sektor Pendidikan Islam (SPI), BAKA, KAGAT dan wakil NGO Islam. Namun mesyuarat bersetuju untuk membuka kepada umum yang berminat dengan sasaran baru seramai 500 orang.

Alhamdulillah, sasaran kehadiran tercapai melalui rekod kedatangan bahkan saya meyakini ramai yang hadir tanpa menulis daftar kehadiran mereka berdasarkan juadah makanan untuk 500 orang habis dan ‘licin’. Sebenarnya ada beberapa ujian yang menimpa kami para urusetia penganjur terutama bagi mengatur para penceramah.

Urusan pengesahan nama penceramah selesai pada jumaat, iaitu empat hari sebelum majlis berlangsung. Namun kami tidak menjangkakan bahawa penerbangan ke Sabah dalam tempoh seminggu kebelakangan ini penuh sesak dengan sebab ramai balik bercuti untuk sambutan Krismas. Tiada tiket yang kosong kecuali hanya dua – kelas perniagaan lewat petang sehari sebelum majlis berlangsung.

Dua daripada tiga penceramah dari Semenanjung (dan satu dari Sabah) dapat didatangkan dengan tiket kelas perniagaan yang diluluskan oleh pihak pentadbiran jabatan sementara satu lagi tidak dapat hadir akibat tiada kekosongan. Akhirnya kami terpaksa merombak penceramah dan tajuknya, dan terjadilah sebagaimana yang disaksikan pada pagi berkenaan yang sepanjang majlisnya dipengerusikan oleh Ustaz Haji Sotimin Sarun.

Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar (Pensyarah Kanan di UiTM Kota Kinabalu, yang juga Ahli Majlis Fatwa Sabah dan Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah) dengan moderator Ustaz Jumain Abdul Ghani, mengambil slot yang pertama menceritakan tentang ajaran Qadiani daripada segi sejarah, ciri-ciri dan doktrinnya. Antara doktrin utamanya ialah dakwaan Mirza Ghulam Ahmad Qadiani adalah seorang Nabi, menghapuskan jihad, meyakini Nabi Isa al-Masih wafat di Kashmir India dan sebagainya.

Ustaz Azezul Zul Azmi mewakili JAIS membawa tajuk ‘Menangani Qadiani : Pengalaman Negeri Selangor’ dimoderatorkan oleh Ustaz Abdul Razak Hamdin. Anak muda ini mendedahkan usaha-usaha kerajaan Negeri Selangor sama ada dalam bentuk dakwah, pendidikan, penguatkuasaan dan pendakwaan kepada kumpulan ini yang terdapat di beberapa lokasi di negeri tersebut Perkongsian beliau seterusnya dalam bentuk dialog menyatakan keperluan umat Islam sendiri agar mendalami Islam secara istiqamah daripada segi aqidah, syariah dan akhlak.

Slot sebelah petang dipimpin oleh ulama terkenal Dato’ Ustaz Haji Ismail Kamus dengan tajuk ‘Sihir dan amalan perbomohan dalam masyarakat Islam’. Sebenarnya, oleh kerana program ini adalah inisiatif Unit Penyelidikan, maka ramai menyangka saya yang mencadangkan Dato’ Ismail Kamus sebagai salah satu penceramah. Sedangkan sebenarnya saya mencadangkan penceramah lain yang kemudian ditukar dengan al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus hasil cadangan Ustaz Najion Jamil, seorang pegawai senior di bahagian kami.

Dalam pembentangannya yang dipengerusikan oleh Ustaz Hamdani Omar, antara yang diutarakan oleh beliau ialah kajian berkenaan bagaimana sihir itu boleh diperolehi seperti contohnya mushaf kecil yang diletak di tumit dan dipijak secara sengaja selama tujuh hari; menulis ayat al-Quran dengan menggunakan najis seperti darah haidh untuk dijadikan azimat; memijak mushaf atau membawa mushaf ke tandas untuk dihina; menyembelih haiwan seperti kambing, ayam atau merpati hitam dengan menyebut kalimah tertentu untuk memuja syaitan; membunuh orang Islam untuk diambil darahnya untuk dipuja dan dijamu kepada makhluk halus dan seumpamanya.

Alhamdulillah, huraian beliau dapat menjelaskan amalan-amalan yang berlaku dalam masyarakat khususnya dalam perubatan tradisional yang kadang-kadang tanpa disedari telah menyeleweng daripada ajaran Islam. Kepada beliau, saya menjelaskan ini adalah satu program pembuka jalan untuk program pencerahan aqidah Islam yang sahih pada masa hadapan anjuran JHEAINS. Insya Allah akan ada siri berikutnya dengan tajuk dan isu aqidah yang lain pula.

Kami perhatikan ustaz dikerumumi ramai selepas itu untuk mendapatkan tandatangan di buku-buku tulisan ustaz yang berada di pasaran. Sahabat saya Sdr Azman Talib yang membuka gerai di luar dewan kehabisan buku-buku tulisan Ustaz Dato’ Ismail Kamus yang dibeli oleh audien. Antaranya ialah buku bertajuk ‘Jin Hakikat dan Pengubatan’, ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ dan ‘Indahnya Amalan Berdoa’. Terima kasih semua.

Saya sampai sendirian ke rumah keluarga Allahyarham sekitar jam 9 pagi. Janazah baru tiba dari hospital belum berapa lama tadi. Khabarnya meninggal dunia selepas beliau selesai solat fardhu subuh sekitar jam 5.15 pagi. Yang datang belum ramai lagi. Maklumlah hujung minggu, masing-masing ada agenda peribadi sendiri.

Saya pinta kepada ahli keluarga yang kebanyakan perempuan itu agar menghubungi pihak JK masjid berdekatan agar memaklumkan kematian Allahyarham. Lagipun saya dimaklumkan Allahyarham yang berumur belum sampai 50 tahun itu adalah jamaah masjid di situ juga. Saya kata, saya datang dari luar kawasan sini, seeloknya ahli qariah di sini yang menyelesaikan pengurusan janazah. Setakat untuk meramaikan, saya dan kawan-kawan yang lain boleh membantu.

Ada orang-orang lain yang terdahulu sampai sedang memandikan janazah. Kami menanti di luar dan kemudian saya memimpin bacaan yasin. Kawan-kawan lain ada yang mulai sampai. Ketika doa dirafakkan, makcik-makcik di rumah itu tidak henti-henti bersembang, tidak peduli doa sedang dibaca dan diaminkan.

Kami dikhabarkan, mereka menanti ahli keluarga yang lain dari luar daerah. Ketika itu baru sekitar 10.50 pagi. Ada yang akan sampai sekitar jam 1 dan 2 petang nanti. Oleh itu, kesimpulan dan ketetapan dibuat, solat janazah dilakukan di masjid berhampiran selepas solat asar dan seterusnya pengkebumian di tanah perkuburan kampung berdekatan.

Saya dan kawan-kawan lain mengambil keputusan untuk beredar dulu sebelum nanti datang kembali menjelang asar. Ada 4 jam lagi boleh diisi dengan program  lain dan undangan perkahwinan. Dalam tempoh itu sempat menghadiri dua majlis lain dan pulang sebentar ke rumah untuk berehat.

Saya kembali bergerak dari rumah setelah azan berkumandang menuju masjid yang berhampiran dengan lokasi janazah. Janji awal tadi, janazah disolatkan sejurus selepas solat asar. Sampai di masjid berkenaan, kawan-kawan yang tiba lebih awal mengatakan janazah masih di rumah. Saya dimaklumkan janazah dimandikan buat kali ketiga. Sekali awal pagi tadi, kali kedua jam 2 petang dan kali ketiga selepas asar.

Rupanya bermacam-macam kejadian di rumah berkenaan. Sesudah tiga kali mandi, keluarga Allahyarham hendak memakaikan jubah kepada janazah. Sang ustaz yang hadir kata tidak perlu, memadai dengan kain kafan. Waris kata, ini amanat Allahyarham kerana jubah sudah dibeli 6 tahun lalu untuk pakaian kematiannya. Saya mencurigai kesahihan amanat itu kerana Allahyarham dikenali sebagai orang yang baik. Sang ustaz khabarnya tewas.

Sesudah itu, tiba hendak mensolatkan janazah. Sebahagian keluarga berkeras tidak mahu janazah dibawa ke masjid dan memadai solat di rumah, sedangkan persetujuan awal solat di masjid. Lagipun ada jamaah yang siap menanti di masjid sejak sebelum asar lagi. Masa sudah 5.45 petang. Akhirnya dua kali solat, hanya empat orang menuruti solat janazah di rumah, manakala selebihnya di masjid. Sebahagian ahli keluarga yang berkeras tadi, terus ke perkuburan dan enggan singgah ke masjid.

Hari semakin senja. Sang ustaz mengadu, betapa kerasnya sikap sebahagian besar keluarga ini dengan bermacam-macam permintaan yang bukan-bukan. Beliau menjadi imam dan kami kawan-kawan serta jamaah yang setia menjadi makmumnya. Hampir jam enam, janazah diusung dengan van janazah ke kampung berhampiran, tanah perkuburan yang sebahagian besarnya adalah berbukit.

Satu perkara yang mengejutkan saya dan beberapa rakan lagi, arah letak kubur janazah tidak menghadap ke qiblat. Tetapi tiada yang bersuara, bahkan kebanyakan yang berpengaruh mengurus adalah orang-orang jahil yang merasa pandai dengan urusan janazah ini. Sang ustaz menggelengkan kepala. Saya tahu, cakapnya tidak mahu didengar orang.

Masa sudah melewati 6.15 petang. Saat janazah dimasukkan, kain penutup keranda yang diangkat menaungi lubang kubur dikibar selaju-lajunya. Ini babak yang baru pertama kali saya saksikan. Saya ralat kerana kain itu merupakan tulisan ayatul kursi yang dikibar sesuka hati mereka. Khabarnya kalau zaman dahulu kain dikibar untuk menghalau lalat. Mungkin juga dikibar kerana mereka yang mengatur janazah di dalam lubang sedang kepanasan dan perlu dikipas.

Saya pesankan sang ustaz agar tidak memanjangkan talqin dan tahlil kerana maghrib yang semakin suntuk. Saat itu sudah melewati jam 6.40 petang. Sang ustaz meneruskan tahlil ringkas sambil seseorang menyuluh beliau dengan lampu kecil. Beberapa belia  duduk didekatnya sambil menghisap rokok.

Tangan diangkat, doa dirafakkan ke hadrat Allah SWT semoga Allahyarham diampunkan dosa-dosanya. Sang ustaz teguh melafazkan doa sambil kami beberapa orang di atas bukit mengaminkan dari atas. Saat sang ustaz menyapukan tangan ke muka, lalu berkata : “Taqabbalallahu minkum!”, tiada seorang pun yang saya dengar di dekatnya menjawab seruan itu, melainkan kami di atas bukit.

Nota : Nama Allahyarham dan keluarganya, lokasi kejadian (kematian, masjid dan tanah perkuburan) dirahsiakan untuk menjaga aib semua pihak yang terlibat. Yang jelas menurut pemerhatian kami, usaha untuk menjelaskan hukum hakam berkaitan kematian, perkara khurafat dan seumpamanya belum begitu mendasar ke dalam masyarakat terbanyak di bawah. Semoga ada pengajaran berguna untuk mereka yang mahu mengambil iktibar. Al-Fatihah untuk Allahyarham yang dimaksudkan.

AUZANI & ZAITON

Satu lagi kenduri perkahwinan yang gagal kami hadiri ialah walimah Ustaz Haji  Md Auzani Daud dan Zaiton Madlee pada 19 Disember lalu di Kg Darat Pauh Bongawan, sekitar 45 minit dari rumah kami di Putatan.

Ustaz Auzani adalah junior saya di sekolah menengah, sementara abangnya Ustaz Helmi Daud adalah rakan sekelas saya di sekolah menengah. Dengan Auzani kami menunaikan ibadah haji bersama-sama dari Mesir ke tanah suci Makkah pada tahun 2002, dengan jumlah 18 orang siswa Sabah ketika itu termasuk Ustaz Safri Bakar yang juga mendirikan rumahtangga pada tarikh yang sama.

Auzani dan Safri kedua-duanya adalah tenaga pengajar di SMAN Toh Puan Hajah Rahmah lepasan Universiti al-Azhar dan semasa bujang sebelum ini mereka tinggal serumah. Indah juga suasana mereka,  berasal dari daerah yang sama (Bongawan), tamatan universiti yang sama, tinggal di rumah yang sama ketika bujang dan kahwin pada tarikh yang sama.

Foto di atas saya salin semula dari facebook Ustazah Maryumi ketika majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Kg Petagas. Semoga berbahagia untuk semuanya.

 

Saya sudah merancang bersama isteri dan anak-anak untuk hadir ke majlis mereka baik di rumah pengantin perempuan di Kg Pimping Membakut atau rumah pengantin lelaki di Bongawan. Namun demikian ketetapan Allah SWT kerana ada kecemasan @ musibah yang melanda pada pagi ahad  lalu sehingga hampir semua undangan terpaksa dibatalkan kehadiran.

Walaubagaimanapun doa kami semoga kebahagiann dan keberkatan seiring dalam kehidupan mereka sampai bila-bila. Ustaz Haji Md Safri Haji Bakar, (30 tahun) sudah lama dikenali sejak zaman sekolah menengah sementara isteri Ustazah Dg Hazimah Ag Tengah (29 tahun) adalah sahabat baik isteri saya. Saya tahu hasrat mereka sudah lama iaitu sejak zaman pengajian di Universiti al-Azhar lagi hampir 10 tahun lalu.

Foto ini saya petik dari facebook Ustazah Normala Salleh yang hadir ke undangan walimah mereka.

USTAZ SYED ABDUL KADIR AL-JOOFRE

Saya suka dengan pengisian santai beliau pada malam isnin lalu di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral. Tajuk yang diberikan saat itu tentang ‘Pelaburan Akhirat Yang Pasti Menguntungkan’, dibawa berdasarkan sebuah hadith Rasulullah SAW : “Orang yang bijak itu ialah orang yang mengkoreksi dirinya dan beramal untuk selepas matinya”.

1) Kewajiban bersyukur kepada Allah SWT kerana kehadiran ke majlis-majlis ilmu adalah kerana kita dipilih oleh Allah SWT beliau petik kata-kata Imam Nawawi RH di dalam kitab al-Majmuk. Dua nikmat yang selalu dilupakan iaitu masa lapang dan sihat, kerana ia manusia selalu lapang dan sihat berbanding terlalu sibuk dan sakit. Syukur kepada Allah bukan semata-mata lisan tetapi dalam bentuk praktikal.

2) Nabi SAW menggunakan kalimah al-kayyis (orang yang bijak) kepada orang yang bermuhasabah diri dan beramal untuk bekalan selepas mati, bukan menggunakan kalimah orang yang bertaqwa atau orang yang baik. Beliau memberi contoh mudah duit RM1 yang boleh dimanfaatkan dalam banyak kebaikan tetapi nilai dan pahalanya berbeza menurut kebijaksanaan orangnya.

3) Semakin besar peranan dan kebijaksanaan seseorang, semakin besarlah peluang untuk membuat pelaburan akhirat. Contohnya seorang pemimpin kepada rakyatnya mempunyai peluang yang besar untuk melakukan kebaikan yang memberi manfaat kepada rakyat terbanyak dan peluang kebaikannya dicontohi orang lain. Kebaikan yang dituruti orang lain, pahalanya berpanjangan sehingga hari kiamat.

Terima kasih Ustaz Syed Abdul Kadir atas pengisian yang santai tapi sangat bermanfaat. Beliau adalah pegawai di Majlis Syura Ulama dan AJK Pengurusan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA).

Tahniah kepada abang dan kakak ipar saya – Md Safree dan  Foziah @ Intan yang menimang cahayamata keempat di Hospital Labuan pada jam 12.50 pagi 6 Disember 2010, bertepatan akhir tahun kalendar Islam iaitu 30 Zulhijjah 1431, beberapa jam` sebelum tahun baru 1432 menjelang.

Ini anak keempat mereka dan lelaki yang ketiga dan merupakan cucu yang ke 19 bagi Nenek Aji dan Nenek Uban. Danial, Danisya dan Danish mesti suka..

 

TOMYAM KEPAYAN

Ini majlis kenduri doa selamat dan solat hajat sempena pembukaan restoran baru milik Pak Ucu di Kepayan, tidak jauh dari IPK Kepayan dan Jabatan Penjara. Ketika ini hampir 100 orang hadir ke premis ini awal Muharram lalu dipimpin oleh Imam Masjid Negeri Ustaz Saidin Haji Arpha.

Pak Ucu orang Kelantan dan sebelum ini telah mengambil alih Restoran Tiara di Grace Square Sembulan, juga hidangan berasaskan masakan Thailand/ Kelantan seperti tomyam dan lain-lain. Ramai kenal dengan beliau yang berkeperibadian santai tetapi pemurah orangnya dan selalu solat berjamaah di masjid atau surau.

Beliau selalu juga dipilih untuk katering dalam program di surau dan masjid, kebiasaannya dilebihkan makanannya tanpa sebarang bayaran tambahan apa-apa. Katanya, ada rezeki akan buka satu lagi cawangan baru di Taman Kingfisher Likas dalam masa yang terdekat. Mudah-mudahan rezeki beliau luas dan boleh menyumbang untuk program-program dakwah.

Saya tidaklah berani mengatakan pengendalian majlis ini terbaik keseluruhannya apatah lagi dari segi mewah dan  elitnya tetapi ada iktibar yang sangat baik, khususnya dari segi pengisian ruhaninya. Bukanlah terlalu sempurna tetapi ada banyak kelainan yang saya dan kami para tetamu lihat dan perhatikan. Hari itu saya ada enam undangan kenduri perkahwinan dan hanya dapat turut sempat datang di dua majlis sahaja, dan di sini salah satunya.

Saya mengucapkan tahniah kepada keluarga pengantin perempuan khususnya Encik Ribbang bin Ampong dan isteri, juga kepada pengantinnya Nurul Asyikin dan Faizal serta seluruh ahli keluarga kedua-dua pihak. Majlisnya di Taman Limauan, Kinarut sangat sederhana dan diselangi dengan enam slot tazkirah, persembahan nasyid  daripada anak-anak taman ini dan lagu-lagu nasyid bersesuaian termasuk cd dendangan  Maher Zain selain ucapan bersemangat daripada tuan rumah sendiri.

Saya hanya berada di lokasi ketika kemuncak majlis iaitu ketibaan pengantin lelaki dari Beaufort dan bertahan di sana sekitar sejam, bahkan sempat diminta mengisi salah satu slot tazkirah secara spontan dan saya isi hanya sekitar 5 minit. Kehadiran ramai ustaz-ustazah dan para ahli surau dan masjid selain ahli keluarga dan penduduk taman telah turut memeriahkan suasana perkahwinan tersebut walaupun suku terakhir majlis disirami dengan hujan lebat.

Semoga Allah memberkati kedua pengantin dan ahli keluarga mereka semua serta mengumpulkan mereka dalam kebaikan. Saya tidak berpeluang ambil foto lebih banyak kerana suasana hujan lebat ketika itu. Foto yang ada  ini ketika hujan belum turun menggunakan kamera telefon bimbit saja.

%d bloggers like this: