Hero tunggal kami genap berumur 4 tahun 25 Disember lalu. Beberapa hari sebelumnya saya menyertai program jabatan di Tawau dan pulang pada pagi 25 hb itu. Kakak sulungnya Nuha bercerita, Abdul Hadi kerap menghitung hari untuk memotong kek harijadinya sepanjang tiga malam ketiadaan saya di rumah.

Benar orang kata, kasih sayang sukar dibahagi sama rata walaupun kita sudah berusaha. Memang saya memberi perhatian sedikit lebih kepada Abdul Hadi berbanding yang lain. Puncanya kerana dia satu-satunya hero kami dan dia tiada kawan interaksi sesama lelaki di rumah kecuali saya dan atuknya. Saya berharap dapat membawanya keluar selalu khususnya menemankan saya ke masjid, surau atau ke lokasi-lokasi program yang saya diundang. Biarlah lelaki selalu keluar dan merantau.

Bersama kakak-kakak dan adik-adiknya di rumah, mereka semua sangat akrab dan Hadi pula kelihatan lincah. Maklumlah anak lelaki. Tetapi terbalik pula sikapnya apabila berada di PASTI al-Fathonah di Taman Pasir Putih Putatan. Saya melihat dan dilaporkan oleh cikgu berkenaan dan kakaknya yang kedua – Hana, kata mereka Hadi seorang yang pendiam dan pemalu di sekolah.

Ketika babak potong kek ini dirakamkan pun, Hadi masih malu-malu. Saya perasan apabila ada majlis dengan jumlah yang lebih ramai, misalnya dengan sepupu-sepupunya pun, Hadi selalu dipujuk untuk bergambar bersama-sama. Saya selalu berdoa agar Hadi dikurniakan kepintaran dan keberanian dalam hidupnya pada masa-masa mendatang. Oh, tidak lupa berharap Hadi mempunyai adik sejantina dengannya satu masa nanti. Sayang abang Hadi!

Nota : selamat ulangtahun juga buat anak-anak buah yang menyambut hari kelahiran mereka sepanjang disember ini. Md Luqman Naufal Awang Shamsul (9 tahun, 3 Disember), Muhammad Aqeel Haqeem Anuar (8 tahun, 17 Disember), Nur Alia Izzati Azhar (11 tahun, 18 Disember) dan Natasya Azeera Azhar (14 tahun, 31 Disember). Semoga semuanya mendapat kejayaan dalam pelajaran masing-masing.