Foto : Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah Taman Pasir Putih Putatan. Hubungi CIkgu Hasma untuk pendaftaran di PASTI ini  013-8758459

Semua tujuh buah PASTI dibawah seliaan Kawasan Putatan bersedia untuk menerima pendaftaran murid baru dan lama mulai 3 & 4 Januari akan datang, kata Setiausaha PASTI Kawasan Putatan Muhashibi Razali.

Pihaknya katanya sedang melakukan persiapan terakhir seperti memastikan kebersihan premis PASTI melalui program gotong royong, pertukaran dan pertambahan beberapa orang guru dan sebagainya. Guru-guru baru dan lama katanya akan diberikan taklimat terakhir menjelang 1 Januari ini sebelum ditempatkan di PASTI masing-masing.

Menjelang sesi pembelajaran tahun 2011, PASTI berazam untuk memberikan perkhidmatan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya. Ini dibuktikan dengan beberapa buah premis PASTI yang mempunyai jawatankuasa masing-masing telah membuat beberapa pengubahsuaian dan pembaikan melibatkan jumlah kewangan yang tidak sedikit. Untuk rekod, jumlah pelajar PASTI pada tahun lalu adalah seramai 224 orang.

Selain itu, beberapa tenaga pendidik tempatan juga dilantik dalam pasukan pemantau dan penaziran bagi melihat keberkesanan perjalanan pengajaran dan pembelajaran di PASTI. Pihak PASTI juga kata Muhashibi mengalu-alukan sumbangan idea, kewangan dan tenaga orang ramai  khususnya ibu bapa untuk memperkasakan lagi pendidikan PASTI yang semakin mendapat tempat di Sabah.

Lapan buah PASTI di bawah seliaan Putatan ialah PASTI al-Hikmah Taman Sempelang, PASTI Raihan Kg Sri Pandan, PASTI al-Fathonah Taman Pasir Putih, PASTI al-Furqan Taman Pantai Lok Kawi, PASTI al-Aqsa Taman Limauan, PASTI Nurul Hasanah Bukit Padang dan PASTI al-Amal Kg Likas.

Di seluruh negara, sejumlah 66 ribu orang murid mengikuti pendidikan Islam  pra sekolah di 1677 rangkaian PASTI  yang mempunyai kurikulum yang seragam seluruh negara. PASTI dalam sejarahnya bermula sejak 26 tahun lalu.