Dalam ucapan penangguhan beliau, Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman mengakui banyak persoalan, dialog yang sihat berlaku sepanjang perkampungan selama tiga malam di sini. Namun yang jelas katanya, soalan-soalan, cadangan dan seumpamanya itu tiada yang saling bertentangan. Semuanya bercakap untuk memperkasakan JHEAINS demi melaksanakan program dan akiviti yang membawa kebaikan kepada umat Islam.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa ruang untuk mencadangkan aktiviti dan program bermanfaat tidak semestinya berakhir di sini. Masih ada kesempatan pada masa-masa yang akan datang untuk berbincang berkenaan cadangan dan pelaksanaan program baru.

Dari sisi lain, beliau mengulangi saranannya agar pegawai dan kakitangan JHEAINS terus mendalami ilmu dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau bercita-cita ingin melihat ramainya pegawai JHEAINS satu masa nanti berkelulusan PhD bergelar doktor memegang jawatan dalam organisasi JHEAINS.

Dalam majlis tersebut, penghulu program Ustaz Janis Nawawi menyampaikan senarai Pelan Tindakan kepada Datuk Haji Amri untuk tindakan lanjut. Selain pembentangan pelan strategik, masa tiga malam turut diisi dengan jadual solat berjamaah serta kuliah maghrib dan subuh.

***

Saya sungguh tidak menyangka pada malam penutup ada pegawai  JHEAINS  mengaku sendiri kepada saya yang dia turut meminati blog Abu Nuha Corner ini. Katanya sudah berbulan-bulan dia mengikuti catatan entri blog ini. Terima kasih Kak Azliana Misrah dan kawan-kawannya.