Archive for 29 Disember 2010


Ustaz Zaidi Edward, Datuk Haji Asmali Bachi dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim antara pensyarah awal di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah satu ketika dahulu.

Majlis Penutupan Persidangan Pegawai-Pegawai Kanan JHEAINS pada malam terakhir kami di Tawau berakhir awal. Belum lagi jam 10 malam sudah selesai. Sahabat lama Ustaz Ishak Hamsah dan isterinya Ustazah Siti Samsiar Amin mengajak saya keluar bertemu rakan lama ketika di Maahad Tahfiz dulu. Turut serta ialah Ustazah Zatullifah Md Aslie, PPTA JHEAINS Tenom yang juga alumni MTQQ Sabah.

Ustaz Ishak dan Siti Samsiar adalah lepasan MTQQ Sabah juga. Mereka adalah lapis kedua selepas kami. Kami berziarah ke satu lokasi gerai makan bertemu Ustazah Sunarti Anwar yang sedang menemani ibunya bergerai makan di sana. Sunarti juga adalah alumni MTQQ Sabah.

Sebenarnya dalam persidangan kami terdapat beberapa orang pegawai kanan JHEAINS yang merupakan lepasan Maahad Tahfiz Sabah. Mereka ialah Ustaz Ibrahim Kisab, Ustaz Md Hailmi Misbah, Ustaz Zulfauzi Ag Besar, Ustaz Rahim Yahya Abd Rahman, Ustaz Md Hafidz Ahmad, Ustazah Norizawati Mahmud, Ustazah Zatullifah Md Aslie dan saya sendiri.

Sembang berlima kami di gerai itu berkisar tentang kisah-kisah lama dan perkembangan masing-masing. Tapi timbul satu idea untuk mengumpulkan semula (reunion) alumni Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah satu hari nanti. Semua bersetuju dan berharap satu tempoh tertentu diletakkan untuk masing-masing membuat persediaan. Insya Allah bagi pihak rakan-rakan yang dekat saya bercadang mengundang mereka dan berbincang berkenaan program ini. Bagaimana kalau majlisnya diadakan enam bulan daripada sekarang?

Saya kira jika program ini benar-benar hendak diadakan, sekurang-kurangnya 5 meja (50 orang) dapat dikumpulkan dengan tidak mengambil kira isteri dan anak masing-masing, bekas pengetua dan pensyarah dan tetamu yang lain jika hendak dijemput sama. Saya terfikir juga jika diundang sama lepasan Huffaz yang belajar di luar MTQQ Sabah untuk sama-sama kita membina kekuatan dan kesatuan fikrah dan amal. Selain bertemu muka, idea-idea positif boleh disuarakan, dikumpul dan disampaikan demi kebaikan MTQQ sendiri.

Dalam ucapan penangguhan beliau, Pengarah JHEAINS Datuk Haji Amri Suratman mengakui banyak persoalan, dialog yang sihat berlaku sepanjang perkampungan selama tiga malam di sini. Namun yang jelas katanya, soalan-soalan, cadangan dan seumpamanya itu tiada yang saling bertentangan. Semuanya bercakap untuk memperkasakan JHEAINS demi melaksanakan program dan akiviti yang membawa kebaikan kepada umat Islam.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa ruang untuk mencadangkan aktiviti dan program bermanfaat tidak semestinya berakhir di sini. Masih ada kesempatan pada masa-masa yang akan datang untuk berbincang berkenaan cadangan dan pelaksanaan program baru.

Dari sisi lain, beliau mengulangi saranannya agar pegawai dan kakitangan JHEAINS terus mendalami ilmu dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau bercita-cita ingin melihat ramainya pegawai JHEAINS satu masa nanti berkelulusan PhD bergelar doktor memegang jawatan dalam organisasi JHEAINS.

Dalam majlis tersebut, penghulu program Ustaz Janis Nawawi menyampaikan senarai Pelan Tindakan kepada Datuk Haji Amri untuk tindakan lanjut. Selain pembentangan pelan strategik, masa tiga malam turut diisi dengan jadual solat berjamaah serta kuliah maghrib dan subuh.

***

Saya sungguh tidak menyangka pada malam penutup ada pegawai  JHEAINS  mengaku sendiri kepada saya yang dia turut meminati blog Abu Nuha Corner ini. Katanya sudah berbulan-bulan dia mengikuti catatan entri blog ini. Terima kasih Kak Azliana Misrah dan kawan-kawannya.

%d bloggers like this: