Tengahari rabu minggu lalu kami – pengawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), dengan jumlah hampir 100 orang berkumpul di Tawau dengan sebahagian besarnya dari Kota Kinabalu. Tawau adalah salah sebuah bahagian, daerah dan bandar di Sabah, bahkan dikatakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.

Bacaan saya melalui wikipedia menyatakan bahawa Tawau sebelum tahun 1890 sudah dihuni oleh sebuah perkampungan nelayan tidak kurang 200 orang penduduk masyarakat Melayu keturunan Tidung dan Suluk. Suasana dan pengaruh agama Islam di Tawau tidak dapat dinafikan kerana pada 1956 sudah ada Persatuan Islam Tawau yang kemudiannya bergabung dengan Persatuan Islam Putatan untuk menubuhkan USIA.

Bancian tahun 2000 menyatakan terdapat lebih 300 ribu penduduk di kawasan yang digelar sebagai Bumi Peladang ini. Dari atas muka bumi kelihatan jelas pemandangan indah pokok-pokok kelapa sawit yang terbentang luas. Di bandar Tawau, ada Masjid al-Kauthar yang dikatakan sebagai masjid terbesar di Sabah bernilai hampir RM32 juta. Selain itu ada juga Masjid Bandar yang dibina pada tahun 1962 dan Masjid Raya yang dibina pada 1972. Antara yang terkenal di Tawau ialah Pasar Gantung dan sejenis keropok yang dipanggil Keropok Amplang yang terkenal.

Daerah Tawau berkongsi sempadan dengan Kalimantan Indonesia, dikelilingi dengan Laut Sulu di timur dan Laut Sulawesi di selatan. Saya teringat dengan beberapa peristiwa yang menimpa rakan-rakan Semenanjung yang berkunjung ke Tawau, tanpa melihat, menyedari atau bertanya tentang kedudukan antara Tawau dan Kota Kinabalu. Ada di kalangan mereka yang pernah turun mendarat di Tawau dari KLIA dengan tujuan hendak ke Kota Kinabalu. Begitu juga yang hendak ke Tawau, tapi menyertai penerbangan setakat ke Kota Kinabalu tanpa menyedari jarak KK-Tawau tidak kurang daripada 500km jauhnya.