Archive for 27 Disember 2010


PERSIDANGAN PEGAWAI KANAN JHEAINS

Kalau tidak salah ini kali keempat persidangan yang sama diadakan sementara kali kedua saya menyertainya. Kehadiran dalam persidangan kali ini di Hotel Promenade Tawau sebagaimana yang dimaklumkan oleh Datuk Pengarah JHEAINS amatlah memuaskan kerana sekitar 85 peratus hadir dalam keadaan ramai yang mengambil cuti hujung tahun dan urusan-urusan lain.

Peserta terdiri daripada pegawai kanan JHEAINS bermula daripada Pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Penolong Pengarah, Pengetua-pengetua, Pegawai Tabdir Agama dan Penolong Pegawai Tadbir Agama (PPTA) seluruh Sabah berkumpul di sini dengan tema kali ini ‘Pelan Strategik Berkesan Matlamat Jabatan Tercapai’.

CERAMAH DATUK DR SIDDIQ FADZIL

Persidangan bermula pada malam khamis dengan ceramah bersama Datuk Dr Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Darul Hikmah dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) bertajuk ‘Penghayatan dan Pengamalan Etika Kerja Islam Pra-Syarat Kepada Kecemerlangan Organisasi’. Banyak perkara yang disentuh oleh beliau, namun saya tertarik dengan saranan agar halangan-halangan kemesraan sesama warga kerja dihentikan.

Dalam konteks organisasi beliau menyebut tentang negatifnya garis pemisah orang besar dan orang kecil, antara bos dan pekerja bawahan dan seumpamanya. Katanya, orang kecil, salah atau tidak salah selalunya tetap disalahkan. Sementara orang besar, benar atau tidak benar selalunya tetap dibenarkan. Perbuatan dan tindakan orang bawahan biasanya dipandang negatif walaupun ia benar, sementara tindakan orang atasan selalunya dipandang positif walaupun salah.

Beliau menyatakan dua faktor kejayaan organisasi ialah kepimpinan yang berkualiti dan budaya organisasi itu sendiri. Budaya berfikir, memberi pendapat dan berbincang mestilah disemai walaupun pendapat itu daripada staf biasa. Beliau mengungkapkan ‘yang berkuasa adalah pemikiran bukan pemikiran orang berkuasa’.

UCAPAN DASAR PENGARAH JHEAINS

Antara lain beliau menekankan keperluan pegawai-pegawai kanan JHEAINS merancang dan seterusnya melaksanakan program-program yang dapat memenuhi keperluan masyarakat Islam di Sabah walaupun dalam keterbatasan bajet kewangan. Begitu juga penyampaian perkhidmatan yang cekap, mesra pelanggan mesti diberi keutamaan kerana umat Islam memberi harapan dan kepercayaan yang tinggi kepada agensi Islam khususnya JHEAINS.

Dalam keterbatasan kewangan dan kemudahan itulah, kebijaksanaan merancang strategi secara strategik diperlukan jika ingin mencapai matamat sekaligus dapat memacu tranformasi pengurusan hal ehwal Islam yang lebih berkesan khususnya bagi membentuk masyarakat Islam yang berpegang dengan agama, berakhlak dan saling mengukuhkan silaturrahim sesama manusia.

Sebanyak tiga sesi pembentangan pelan strategik dibincangkan. Ia membabitkan bahagian pengurusan, sektor hal ehwal Islam dan sektor pendidikan yang kesemuanya mendapat reaksi, dialog serta soal jawab yang sentiasa segar dan positif oleh semua peserta termasuk Pengarah, Timbalan-timbalannya dan Ketua-ketua Penolong Pengarah yang mengambil bahagian secara langsung.

Dalam sesi pembentangan selain menyentuh cadangan dan komentar peserta, turut dibincangkan ialah cabaran-cabaran luaran dan dalaman yang perlu ditangani secara terancang, bijak dan berhemah. Antaranya ialah berkenaan infrasturktur pendidikan yang kurang efisyen, kemudahan infrastruktur fikizal yang kurang memuaskan, perubahan dalam penyampaian dakwah, masyarakat yang kurang kefahaman agama, pengaruh ajaran agama dan fahaman lain, kurang kefahaman undang-undang syariah dan cabaran pengukuhan sistem pengurusan.

Bengkel penyediaan pelan tindakan juga diadakan membabitkan semua peserta termasuk Pegawai-Pegawai Tadbir Agama dan Penolong-Penolong Pegawai Tadbir Agama seluruh Sabah yang memberikan idea serta cadangan kreatif untuk diadakan baik di peringkat ibu pejabat mahupun di daerah-daerah.

Peserta dibahagi kepada beberapa kumpulan  mengikut bahagian-bahagian JHEAINS seperti Bahagian Dakwah, Pendidikan, Pendakwaan, Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Masjid dan Qaryah, Penyelidikan dan Informasi. Mudah-mudahan idea dan cadangan yang baik ini dapat diadakan serta mendapat kekuatan daripada Allah SWT.


Tengahari rabu minggu lalu kami – pengawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), dengan jumlah hampir 100 orang berkumpul di Tawau dengan sebahagian besarnya dari Kota Kinabalu. Tawau adalah salah sebuah bahagian, daerah dan bandar di Sabah, bahkan dikatakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Sandakan.

Bacaan saya melalui wikipedia menyatakan bahawa Tawau sebelum tahun 1890 sudah dihuni oleh sebuah perkampungan nelayan tidak kurang 200 orang penduduk masyarakat Melayu keturunan Tidung dan Suluk. Suasana dan pengaruh agama Islam di Tawau tidak dapat dinafikan kerana pada 1956 sudah ada Persatuan Islam Tawau yang kemudiannya bergabung dengan Persatuan Islam Putatan untuk menubuhkan USIA.

Bancian tahun 2000 menyatakan terdapat lebih 300 ribu penduduk di kawasan yang digelar sebagai Bumi Peladang ini. Dari atas muka bumi kelihatan jelas pemandangan indah pokok-pokok kelapa sawit yang terbentang luas. Di bandar Tawau, ada Masjid al-Kauthar yang dikatakan sebagai masjid terbesar di Sabah bernilai hampir RM32 juta. Selain itu ada juga Masjid Bandar yang dibina pada tahun 1962 dan Masjid Raya yang dibina pada 1972. Antara yang terkenal di Tawau ialah Pasar Gantung dan sejenis keropok yang dipanggil Keropok Amplang yang terkenal.

Daerah Tawau berkongsi sempadan dengan Kalimantan Indonesia, dikelilingi dengan Laut Sulu di timur dan Laut Sulawesi di selatan. Saya teringat dengan beberapa peristiwa yang menimpa rakan-rakan Semenanjung yang berkunjung ke Tawau, tanpa melihat, menyedari atau bertanya tentang kedudukan antara Tawau dan Kota Kinabalu. Ada di kalangan mereka yang pernah turun mendarat di Tawau dari KLIA dengan tujuan hendak ke Kota Kinabalu. Begitu juga yang hendak ke Tawau, tapi menyertai penerbangan setakat ke Kota Kinabalu tanpa menyedari jarak KK-Tawau tidak kurang daripada 500km jauhnya.

%d bloggers like this: