Ustaz Najion Jamil, pegawai di pejabat kami telah mencadangkan nama beliau dalam program ‘Bicara Hijrah : Isu-Isu Aqidah siri 1’ tempohari. Masalah sihir , perbomohan memang banyak berlaku di Sabah. Bahkan ada dikalangan orang agamawan sendiri terjebak atau terfitnah dalam institusi yang dipanggil rawatan perubatan Islam dan seumpamanya.

Apabila nama beliau dicadangkan dan kawan-kawan di pejabat semuanya bersetuju, saya tuliskan surat undangan dan kemudian ditandatangani oleh Timbalan Pengarah (Bahagian HEI) Ustaz Sidik Ag Adi tanpa sebarang komen. Sejurus itulah saya hubungi langsung al-Fadhil Ustaz Ismail Kamus.

Mendapatkan nombor telefon beliau juga satu kerja yang melucukan. Sejak awal memikirkan cara menghubungi beliau, saya bertanya juga kawan-kawan di Semenanjung. Tiada yang tahu caranya. Kemudian saya teringat web Persatuan Perubatan Islam Darussalam yang beliau asaskan dan menjadi penasihatnya. Di sanalah semuanya bermula.

Ketika saya berhubung dengan orang di pejabat pusat rawatan itu, saya dimaklumkan ustaz masih di Tanah Suci dan akan balik dalam masa yang terdekat. Saya diminta menghubungi ustaz sendiri dan bertanya jadual pergerakan aktiviti dakwah beliau. Saya tanya : “Ustaz ada PA atau pembantu peribadi yang mengatur jadualnya?” (Kerana saya memahami kesibukan beliau). Maka jawapannya : “Tiada”. Terkejut juga saya mendengar jawapan itu kerana semua maklum beliau orang yang sibuk dengan undangan ke merata tempat.

Saya nantikan beberapa hari kemudian untuk memberi keselesaan kepada ustaz sebelum menghubunginya. Takut dan bimbang benar saya bercakap dengan beliau, bimbang-bimbang undangan kami bertembung dengan program beliau yang lain.

Saya memperkenalkan diri sebagai anak murid beliau dari Sabah. Memang kalau bertemu muka mungkin boleh dibilang dengan jari. Tetapi mengikuti ceramah beliau melalui kaset, cd, vcd dan lewat internet sudah saya ikuti lebih 10 tahun. Bahkan pernah menemani beliau tidur bermalam ketika kunjungan ustaz ke Sabah pada Ogos 2000 ketika beliau sebagai ADUN Gombak Setia. Saya ikuti ceramah beliau dari satu lokasi ke satu lokasi ketika itu. Papar, Likas, Sepanggar, hingga ke Kota Belud.

Saya kira ustaz turut terkejut apabila saya menyatakan hasrat mengundang beliau ke Sabah atas nama JHEAINS pada 21 Disember. “Aik, boleh pulak?” kata beliau. Saya kata, surat undangan sudah ditandatangani sekiranya beliau sudi. Dia minta masa beberapa saat melihat jadual dan kemudian menjawab : “Tarikh tu kosong dan boleh bincang”. Saya maklumkan tajuk dan sasaran kehadiran, dan dengarnya beliau gembira. Saya sendiri sangat gembira tidak terkata atas persetujuannya untuk hadir ke Sabah.

Saya memahami perasaan terkejutnya kerana sekatan di banyak tempat kepada beliau. Beberapa bulan lalu, beliau diundang menyampaikan ceramah di negara Brunei Darussalam dan kemudian keesokannya singgah ke WP Labuan seterusnya ada slot ceramah di Masjid Jamek an-Nur. Khabarnya imam masjid telah dipanggil oleh pihak berkenaan kerana mengundang ustaz berceramah.

Dalam sembang kami tengahari 21 Disember lalu di Wisma MUIS sebelum ceramah bermula, beliau bercerita ada satu lokasi di Semenanjung (saya lupa di kawasan mana yang ustaz sebut)  yang masih menghalang beliau berceramah, termasuk melarang membaca doa sebagai ganti ceramah tersebut. Akhirnya kata ustaz, keesokan harinya polis yang menyekat ceramah dan berdoa itu bisu secara tiba-tiba. Beliau sendiri datang menziarahi polis berkenaan. Moralnya, jangan kurang ajar dengan alim ulama’.

Saya dan kawan-kawan mendapat respon yang sangat positif dengan program ini termasuk keterbukaan JHEAINS mengundang Ustaz Ismail Kamus dalam membincangkan tajuk sihir dan perbomohan kerana beliau adalah orang yang pakar dan sering berhadapan dengan isu sebegini. Demikianlah sepatutnya kita menilai dan meletakkan kedudukan alim ulama serta mengambil ilmunya untuk kebaikan bersama.