Saya sampai sendirian ke rumah keluarga Allahyarham sekitar jam 9 pagi. Janazah baru tiba dari hospital belum berapa lama tadi. Khabarnya meninggal dunia selepas beliau selesai solat fardhu subuh sekitar jam 5.15 pagi. Yang datang belum ramai lagi. Maklumlah hujung minggu, masing-masing ada agenda peribadi sendiri.

Saya pinta kepada ahli keluarga yang kebanyakan perempuan itu agar menghubungi pihak JK masjid berdekatan agar memaklumkan kematian Allahyarham. Lagipun saya dimaklumkan Allahyarham yang berumur belum sampai 50 tahun itu adalah jamaah masjid di situ juga. Saya kata, saya datang dari luar kawasan sini, seeloknya ahli qariah di sini yang menyelesaikan pengurusan janazah. Setakat untuk meramaikan, saya dan kawan-kawan yang lain boleh membantu.

Ada orang-orang lain yang terdahulu sampai sedang memandikan janazah. Kami menanti di luar dan kemudian saya memimpin bacaan yasin. Kawan-kawan lain ada yang mulai sampai. Ketika doa dirafakkan, makcik-makcik di rumah itu tidak henti-henti bersembang, tidak peduli doa sedang dibaca dan diaminkan.

Kami dikhabarkan, mereka menanti ahli keluarga yang lain dari luar daerah. Ketika itu baru sekitar 10.50 pagi. Ada yang akan sampai sekitar jam 1 dan 2 petang nanti. Oleh itu, kesimpulan dan ketetapan dibuat, solat janazah dilakukan di masjid berhampiran selepas solat asar dan seterusnya pengkebumian di tanah perkuburan kampung berdekatan.

Saya dan kawan-kawan lain mengambil keputusan untuk beredar dulu sebelum nanti datang kembali menjelang asar. Ada 4 jam lagi boleh diisi dengan program  lain dan undangan perkahwinan. Dalam tempoh itu sempat menghadiri dua majlis lain dan pulang sebentar ke rumah untuk berehat.

Saya kembali bergerak dari rumah setelah azan berkumandang menuju masjid yang berhampiran dengan lokasi janazah. Janji awal tadi, janazah disolatkan sejurus selepas solat asar. Sampai di masjid berkenaan, kawan-kawan yang tiba lebih awal mengatakan janazah masih di rumah. Saya dimaklumkan janazah dimandikan buat kali ketiga. Sekali awal pagi tadi, kali kedua jam 2 petang dan kali ketiga selepas asar.

Rupanya bermacam-macam kejadian di rumah berkenaan. Sesudah tiga kali mandi, keluarga Allahyarham hendak memakaikan jubah kepada janazah. Sang ustaz yang hadir kata tidak perlu, memadai dengan kain kafan. Waris kata, ini amanat Allahyarham kerana jubah sudah dibeli 6 tahun lalu untuk pakaian kematiannya. Saya mencurigai kesahihan amanat itu kerana Allahyarham dikenali sebagai orang yang baik. Sang ustaz khabarnya tewas.

Sesudah itu, tiba hendak mensolatkan janazah. Sebahagian keluarga berkeras tidak mahu janazah dibawa ke masjid dan memadai solat di rumah, sedangkan persetujuan awal solat di masjid. Lagipun ada jamaah yang siap menanti di masjid sejak sebelum asar lagi. Masa sudah 5.45 petang. Akhirnya dua kali solat, hanya empat orang menuruti solat janazah di rumah, manakala selebihnya di masjid. Sebahagian ahli keluarga yang berkeras tadi, terus ke perkuburan dan enggan singgah ke masjid.

Hari semakin senja. Sang ustaz mengadu, betapa kerasnya sikap sebahagian besar keluarga ini dengan bermacam-macam permintaan yang bukan-bukan. Beliau menjadi imam dan kami kawan-kawan serta jamaah yang setia menjadi makmumnya. Hampir jam enam, janazah diusung dengan van janazah ke kampung berhampiran, tanah perkuburan yang sebahagian besarnya adalah berbukit.

Satu perkara yang mengejutkan saya dan beberapa rakan lagi, arah letak kubur janazah tidak menghadap ke qiblat. Tetapi tiada yang bersuara, bahkan kebanyakan yang berpengaruh mengurus adalah orang-orang jahil yang merasa pandai dengan urusan janazah ini. Sang ustaz menggelengkan kepala. Saya tahu, cakapnya tidak mahu didengar orang.

Masa sudah melewati 6.15 petang. Saat janazah dimasukkan, kain penutup keranda yang diangkat menaungi lubang kubur dikibar selaju-lajunya. Ini babak yang baru pertama kali saya saksikan. Saya ralat kerana kain itu merupakan tulisan ayatul kursi yang dikibar sesuka hati mereka. Khabarnya kalau zaman dahulu kain dikibar untuk menghalau lalat. Mungkin juga dikibar kerana mereka yang mengatur janazah di dalam lubang sedang kepanasan dan perlu dikipas.

Saya pesankan sang ustaz agar tidak memanjangkan talqin dan tahlil kerana maghrib yang semakin suntuk. Saat itu sudah melewati jam 6.40 petang. Sang ustaz meneruskan tahlil ringkas sambil seseorang menyuluh beliau dengan lampu kecil. Beberapa belia  duduk didekatnya sambil menghisap rokok.

Tangan diangkat, doa dirafakkan ke hadrat Allah SWT semoga Allahyarham diampunkan dosa-dosanya. Sang ustaz teguh melafazkan doa sambil kami beberapa orang di atas bukit mengaminkan dari atas. Saat sang ustaz menyapukan tangan ke muka, lalu berkata : “Taqabbalallahu minkum!”, tiada seorang pun yang saya dengar di dekatnya menjawab seruan itu, melainkan kami di atas bukit.

Nota : Nama Allahyarham dan keluarganya, lokasi kejadian (kematian, masjid dan tanah perkuburan) dirahsiakan untuk menjaga aib semua pihak yang terlibat. Yang jelas menurut pemerhatian kami, usaha untuk menjelaskan hukum hakam berkaitan kematian, perkara khurafat dan seumpamanya belum begitu mendasar ke dalam masyarakat terbanyak di bawah. Semoga ada pengajaran berguna untuk mereka yang mahu mengambil iktibar. Al-Fatihah untuk Allahyarham yang dimaksudkan.