Satu lagi kenduri perkahwinan yang gagal kami hadiri ialah walimah Ustaz Haji Md Auzani Daud dan Zaiton Madlee pada 19 Disember lalu di Kg Darat Pauh Bongawan, sekitar 45 minit dari rumah kami di Putatan.
Ustaz Auzani adalah junior saya di sekolah menengah, sementara abangnya Ustaz Helmi Daud adalah rakan sekelas saya di sekolah menengah. Dengan Auzani kami menunaikan ibadah haji bersama-sama dari Mesir ke tanah suci Makkah pada tahun 2002, dengan jumlah 18 orang siswa Sabah ketika itu termasuk Ustaz Safri Bakar yang juga mendirikan rumahtangga pada tarikh yang sama.
Auzani dan Safri kedua-duanya adalah tenaga pengajar di SMAN Toh Puan Hajah Rahmah lepasan Universiti al-Azhar dan semasa bujang sebelum ini mereka tinggal serumah. Indah juga suasana mereka, berasal dari daerah yang sama (Bongawan), tamatan universiti yang sama, tinggal di rumah yang sama ketika bujang dan kahwin pada tarikh yang sama.
Foto di atas saya salin semula dari facebook Ustazah Maryumi ketika majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Kg Petagas. Semoga berbahagia untuk semuanya.