Archive for 22 Disember 2010


TOMYAM KEPAYAN

Ini majlis kenduri doa selamat dan solat hajat sempena pembukaan restoran baru milik Pak Ucu di Kepayan, tidak jauh dari IPK Kepayan dan Jabatan Penjara. Ketika ini hampir 100 orang hadir ke premis ini awal Muharram lalu dipimpin oleh Imam Masjid Negeri Ustaz Saidin Haji Arpha.

Pak Ucu orang Kelantan dan sebelum ini telah mengambil alih Restoran Tiara di Grace Square Sembulan, juga hidangan berasaskan masakan Thailand/ Kelantan seperti tomyam dan lain-lain. Ramai kenal dengan beliau yang berkeperibadian santai tetapi pemurah orangnya dan selalu solat berjamaah di masjid atau surau.

Beliau selalu juga dipilih untuk katering dalam program di surau dan masjid, kebiasaannya dilebihkan makanannya tanpa sebarang bayaran tambahan apa-apa. Katanya, ada rezeki akan buka satu lagi cawangan baru di Taman Kingfisher Likas dalam masa yang terdekat. Mudah-mudahan rezeki beliau luas dan boleh menyumbang untuk program-program dakwah.

Saya tidaklah berani mengatakan pengendalian majlis ini terbaik keseluruhannya apatah lagi dari segi mewah dan  elitnya tetapi ada iktibar yang sangat baik, khususnya dari segi pengisian ruhaninya. Bukanlah terlalu sempurna tetapi ada banyak kelainan yang saya dan kami para tetamu lihat dan perhatikan. Hari itu saya ada enam undangan kenduri perkahwinan dan hanya dapat turut sempat datang di dua majlis sahaja, dan di sini salah satunya.

Saya mengucapkan tahniah kepada keluarga pengantin perempuan khususnya Encik Ribbang bin Ampong dan isteri, juga kepada pengantinnya Nurul Asyikin dan Faizal serta seluruh ahli keluarga kedua-dua pihak. Majlisnya di Taman Limauan, Kinarut sangat sederhana dan diselangi dengan enam slot tazkirah, persembahan nasyid  daripada anak-anak taman ini dan lagu-lagu nasyid bersesuaian termasuk cd dendangan  Maher Zain selain ucapan bersemangat daripada tuan rumah sendiri.

Saya hanya berada di lokasi ketika kemuncak majlis iaitu ketibaan pengantin lelaki dari Beaufort dan bertahan di sana sekitar sejam, bahkan sempat diminta mengisi salah satu slot tazkirah secara spontan dan saya isi hanya sekitar 5 minit. Kehadiran ramai ustaz-ustazah dan para ahli surau dan masjid selain ahli keluarga dan penduduk taman telah turut memeriahkan suasana perkahwinan tersebut walaupun suku terakhir majlis disirami dengan hujan lebat.

Semoga Allah memberkati kedua pengantin dan ahli keluarga mereka semua serta mengumpulkan mereka dalam kebaikan. Saya tidak berpeluang ambil foto lebih banyak kerana suasana hujan lebat ketika itu. Foto yang ada  ini ketika hujan belum turun menggunakan kamera telefon bimbit saja.

%d bloggers like this: