Seperti biasa, musim cuti persekolahan dimanfaatkan ramai pihak untuk mengadakan majlis-majlis perkahwinan. Saya sendiri tidak terkecuali menerima banyak undangan perkahwinan dari jauh dan dekat dalam tempoh ini. Ada yang mengadakan di perkarangan rumah, dan ada yang di dewan-dewan tertentu.

Ada yang mengundang sejauh di bumi Semenanjung Malaysia, ada juga sekitar Sabah hingga ke Kunak, Tawau, Sandakan, Sipitang, Membakut, Bongawan dan sekitar Kota Kinabalu. Mana yang terdaya saya kunjungi, selebihnya kita doakan saja agar semuanya berjalan lancar dan pengantin berbahagia dunia dan akhirat.

Pernikahan dan perkahwinan adalah termasuk ibadah yang disyariatkan dalam Islam. Majlis kenduri kesyukuran sempena pernikahan dan perkahwinan justeru itu juga satu ibadah yang disunnatkan serta disebut oleh Nabi SAW dalam hadithnya. Namun menjadi suatu perkara yang menyedihkan ibadah walimah al-urus ini masih bercampur aduk dengan perkara yang mungkar.

Saya bersetuju bahawa banyak perkara sudah berubah dan semakin baik dalam majlis-majlis perkahwinan tetapi zaman moden ini masuk pula perkara-perkara baru yang dibawa dari Barat dan dicampur dengan majlis perkahwinan pengantin beragama Islam. Contohnya kalau dahulu tempat duduk tetamu masih bercampur lelaki dan perempuan, tetapi kini sudah banyak penganjur yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan.

Dahulu pengantin perempuan yang menutup aurat biasanya akan membuka dan memperlihatkan kepala dan rambutnya sempena majlis perkahwinan mereka. Kini pula sudah ramai yang terbuka hati untuk terus menutup aurat dalam majlis perkahwinan mereka.

Saya teringat kisah seorang ustaz di Sabah yang berkahwin pada tahun 80an, isterinya kekal menutup aurat sedangkan fahaman orang kampung ketika itu pengantin perempuan biasanya menayangkan rambut mereka. Ketegasan ustaz berkenaan menyebabkan ibunya jatuh pengsan kerana terkejut. Namun kini, sudah ramai pengantin di kampungnya yang kekal berpakaian menutup aurat ketika majlis perkahwinan.

Antara perkara yang kelihatan bercanggah ialah :

1) Mengadakan sepanduk atau kain rentang (banner) yang memaparkan foto pasangan bakal pengantin berdua bahkan ada yang aksi berpelukan dan seumpamanya, sedangkan hari pernikahan belum berlangsung. Walaupun mungkin ia hanya teknik super impose, ia tetap mengundang fitnah dan umpatan orang.

2) Pakaian dan perhiasan kedua pengantin yang mengada-ada dan berlebih-lebihan. Zaman ini, ada pakej pakaian pengantin yang bermacam-macam. Hari pernikahan pengantin perempuan cantik menutup aurat, tetapi hari resepsi mereka berpakaian ala kemban sehingga hilang identiti dan jati diri orang Islam.

3) Pengunaan muzik dan karoeke yang melampau-lampau serta majlis tari menari. Antara hikmah kenduri perkahwinan ialah adanya pertemuan sesama tetamu untuk bersembang. Namun bunyi bising karaoke dan muzik yang tidak bersesuaian, telah menghalang dan mengganggu ketenangan tetamu. Peribadi saya tidak menolak muzik secara total, tetapi mesti disesuaikan dengan syariat seperti senikata, penyanyi dan kesesuaian masa dan tempat. Memang ada anjuran agar majlis perkahwinan itu meriah agar ada syiarnya.

4) Masih kedapatan majlis yang hanya mengundang orang tertentu seperti  para pembesar dan kenamaan dan mengabaikan orang tertentu yang lain seperti orang susah, anak yatim dan seumpamanya.

Cadangan saya, agar pihak tertentu yang berkemampuan dan bersesuaian mengadakan kursus ‘majlis perkahwinan menurut islam’ yang mengundang mak andam (juru solek pengantin), pemilik-pemilik pakaian pengantin, juru foto pengantin, katering-katering perkahwinan serta pihak pemilik karaoke dan seumpamanya selain para pengantin dan ibu bapanya sekali. Insya Allah, majlis perkahwinan kita akan dapat ‘diislamkan’ walaupun sedikit demi sedikit.