Sekalung tahniah saya ucapkan kepada sekelompok anak-anak muda Persatuan Siswazah Sabah (PSS), yang menganjurkan Islamic Summer Camp (ISC), kali ini di Batangan Baru Lagoon Tuaran 17-19 Disember lalu. Sekitar seminggu sebelum program, saya diundang untuk menyampaikan satu slot berkenaan ‘Dakwah Generasi Y’ di hadapan lebih 100 peserta.

Sebenarnya saya keletihan hari berkenaan kerana jadual program yang padat khususnya sejak tengahari hingga lewat malam. Dari Masjid Negeri ke Inanam Laut, kemudian kuliah maghrib di Lok Kawi dan akhirnya patah balik ke arah Tuaran. Namun kerana sudah berjanji untuk hadir dan ingin melihat pelapis-pelapis du’at yang sedang dikaderkan ini, saya gagahkan juga.

Satu saja rasanya saya merasa ralat kerana gagal menyediakan apa-apa bahan untuk perkongsian putera dan puteri yang hadir ini kecuali satu video klip yang memaparkan program Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah sepanjang tahun 2009. Kemudian saya kurang pasti adakah penyampaian saya malam itu menepati kehendak dan objektif penganjur kerana rasanya saya bukanlah terlalu ahli dalam tajuk yang diberikan.

Terlibat dalam dunia dakwah secara khusus dan objektif mula saya sertai  sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir dan lebih aktif selepas itu. Medan saya sebenarnya kurang bersama orang muda tetapi lebih banyak bersama penduduk kampung, kerana kegemaran saya berkuliah di masjid dan surau kampung dan taman. Begitu juga ceramah pengisian di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta khususnya tazkirah dan sempena hari kebesaran Islam.

Justeru saya kurang terlatih mengisi program berbentuk taujihad yang kelihatan bersemangat dan berapi-api bersama orang muda. Namun, sekiranya mereka mengundang, saya tetap cuba hadir dan memenuhi kehendak mereka mengikut kemampuan saya yang terbatas dan sedikit.

Justeru saya ingatkan peserta tujuan dakwah itu adalah untuk menyampaikan Islam dan kalimah Allah kepada sasaran dengan kaedah, pendekatan dan strategi yang bijak. Allah SWT telah memberikan satu nikmat dan kemudahan pada hari ini dengan kemudahan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan dakwah seperti telefon bimbit, internet – web, blog, facebook dan lain-lain.

Semua foto ihsan Hasmadi Hasbi : http://madi2mudamudi.blogspot.com/