Archive for 21 Disember 2010


MAJLIS PERKAHWINAN

Seperti biasa, musim cuti persekolahan dimanfaatkan ramai pihak untuk mengadakan majlis-majlis perkahwinan. Saya sendiri tidak terkecuali menerima banyak undangan perkahwinan dari jauh dan dekat dalam tempoh ini. Ada yang mengadakan di perkarangan rumah, dan ada yang di dewan-dewan tertentu.

Ada yang mengundang sejauh di bumi Semenanjung Malaysia, ada juga sekitar Sabah hingga ke Kunak, Tawau, Sandakan, Sipitang, Membakut, Bongawan dan sekitar Kota Kinabalu. Mana yang terdaya saya kunjungi, selebihnya kita doakan saja agar semuanya berjalan lancar dan pengantin berbahagia dunia dan akhirat.

Pernikahan dan perkahwinan adalah termasuk ibadah yang disyariatkan dalam Islam. Majlis kenduri kesyukuran sempena pernikahan dan perkahwinan justeru itu juga satu ibadah yang disunnatkan serta disebut oleh Nabi SAW dalam hadithnya. Namun menjadi suatu perkara yang menyedihkan ibadah walimah al-urus ini masih bercampur aduk dengan perkara yang mungkar.

Saya bersetuju bahawa banyak perkara sudah berubah dan semakin baik dalam majlis-majlis perkahwinan tetapi zaman moden ini masuk pula perkara-perkara baru yang dibawa dari Barat dan dicampur dengan majlis perkahwinan pengantin beragama Islam. Contohnya kalau dahulu tempat duduk tetamu masih bercampur lelaki dan perempuan, tetapi kini sudah banyak penganjur yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan.

Dahulu pengantin perempuan yang menutup aurat biasanya akan membuka dan memperlihatkan kepala dan rambutnya sempena majlis perkahwinan mereka. Kini pula sudah ramai yang terbuka hati untuk terus menutup aurat dalam majlis perkahwinan mereka.

Saya teringat kisah seorang ustaz di Sabah yang berkahwin pada tahun 80an, isterinya kekal menutup aurat sedangkan fahaman orang kampung ketika itu pengantin perempuan biasanya menayangkan rambut mereka. Ketegasan ustaz berkenaan menyebabkan ibunya jatuh pengsan kerana terkejut. Namun kini, sudah ramai pengantin di kampungnya yang kekal berpakaian menutup aurat ketika majlis perkahwinan.

Antara perkara yang kelihatan bercanggah ialah :

1) Mengadakan sepanduk atau kain rentang (banner) yang memaparkan foto pasangan bakal pengantin berdua bahkan ada yang aksi berpelukan dan seumpamanya, sedangkan hari pernikahan belum berlangsung. Walaupun mungkin ia hanya teknik super impose, ia tetap mengundang fitnah dan umpatan orang.

2) Pakaian dan perhiasan kedua pengantin yang mengada-ada dan berlebih-lebihan. Zaman ini, ada pakej pakaian pengantin yang bermacam-macam. Hari pernikahan pengantin perempuan cantik menutup aurat, tetapi hari resepsi mereka berpakaian ala kemban sehingga hilang identiti dan jati diri orang Islam.

3) Pengunaan muzik dan karoeke yang melampau-lampau serta majlis tari menari. Antara hikmah kenduri perkahwinan ialah adanya pertemuan sesama tetamu untuk bersembang. Namun bunyi bising karaoke dan muzik yang tidak bersesuaian, telah menghalang dan mengganggu ketenangan tetamu. Peribadi saya tidak menolak muzik secara total, tetapi mesti disesuaikan dengan syariat seperti senikata, penyanyi dan kesesuaian masa dan tempat. Memang ada anjuran agar majlis perkahwinan itu meriah agar ada syiarnya.

4) Masih kedapatan majlis yang hanya mengundang orang tertentu sepertiĀ  para pembesar dan kenamaan dan mengabaikan orang tertentu yang lain seperti orang susah, anak yatim dan seumpamanya.

Cadangan saya, agar pihak tertentu yang berkemampuan dan bersesuaian mengadakan kursus ‘majlis perkahwinan menurut islam’ yang mengundang mak andam (juru solek pengantin), pemilik-pemilik pakaian pengantin, juru foto pengantin, katering-katering perkahwinan serta pihak pemilik karaoke dan seumpamanya selain para pengantin dan ibu bapanya sekali. Insya Allah, majlis perkahwinan kita akan dapat ‘diislamkan’ walaupun sedikit demi sedikit.

ISC 2010

Sekalung tahniah saya ucapkan kepada sekelompok anak-anak muda Persatuan Siswazah Sabah (PSS), yang menganjurkan Islamic Summer Camp (ISC), kali ini di Batangan Baru Lagoon Tuaran 17-19 Disember lalu. Sekitar seminggu sebelum program, saya diundang untuk menyampaikan satu slot berkenaan ‘Dakwah Generasi Y’ di hadapan lebih 100 peserta.

Sebenarnya saya keletihan hari berkenaan kerana jadual program yang padat khususnya sejak tengahari hingga lewat malam. Dari Masjid Negeri ke Inanam Laut, kemudian kuliah maghrib di Lok Kawi dan akhirnya patah balik ke arah Tuaran. Namun kerana sudah berjanji untuk hadir dan ingin melihat pelapis-pelapis du’at yang sedang dikaderkan ini, saya gagahkan juga.

Satu saja rasanya saya merasa ralat kerana gagal menyediakan apa-apa bahan untuk perkongsian putera dan puteri yang hadir ini kecuali satu video klip yang memaparkan program Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah sepanjang tahun 2009. Kemudian saya kurang pasti adakah penyampaian saya malam itu menepati kehendak dan objektif penganjur kerana rasanya saya bukanlah terlalu ahli dalam tajuk yang diberikan.

Terlibat dalam dunia dakwah secara khusus dan objektif mula saya sertaiĀ  sebelum melanjutkan pengajian ke Mesir dan lebih aktif selepas itu. Medan saya sebenarnya kurang bersama orang muda tetapi lebih banyak bersama penduduk kampung, kerana kegemaran saya berkuliah di masjid dan surau kampung dan taman. Begitu juga ceramah pengisian di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta khususnya tazkirah dan sempena hari kebesaran Islam.

Justeru saya kurang terlatih mengisi program berbentuk taujihad yang kelihatan bersemangat dan berapi-api bersama orang muda. Namun, sekiranya mereka mengundang, saya tetap cuba hadir dan memenuhi kehendak mereka mengikut kemampuan saya yang terbatas dan sedikit.

Justeru saya ingatkan peserta tujuan dakwah itu adalah untuk menyampaikan Islam dan kalimah Allah kepada sasaran dengan kaedah, pendekatan dan strategi yang bijak. Allah SWT telah memberikan satu nikmat dan kemudahan pada hari ini dengan kemudahan teknologi yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan dakwah seperti telefon bimbit, internet – web, blog, facebook dan lain-lain.

Semua foto ihsan Hasmadi Hasbi : http://madi2mudamudi.blogspot.com/

%d bloggers like this: