Sekali lagi, JHEAINS melalui Bahagian Dakwah, Pusat Zakat Sabah dan Persatuan Kebajikan  Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) bersama-sama menganjurkan majlis Khatan Perdana 2010 di Masjid Negeri Sabah pada sabtu lalu dengan penyertaan seramai 200 peserta dari pelbagai kampung di Putatan hingga ke Telipok termasuk dari Pulau Gaya.

Seperti juga tahun lalu, Pusat Zakat Sabah telah menaja kos khatan para peserta yang merupakan terdiri daripada golongan keluarga fakir, miskin dan muallaf sebagaimana asnaf yang digolongkan sebagai penerima zakat. Begitu juga PERKIPS telah menghantar tidak kurang 40 orang terdiri daripada doktor dan pembantu perubatan yang telah menjayakan program ini.

Terdahulu pada awal pagi, para peserta telah dibawa berarak di perkarangan Masjid Negeri Sabah dan seterusnya majlis perasmian oleh Ybhg Datuk Yusuf Ibrahim, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan disaksikan bersama oleh ibu bapa para peserta.

Pelbagai aksi dan gelagat berlaku sepanjang majlis berkenaan yang berakhir sekitar jam 2 petang. Antaranya babak seorang peserta yang cuba menumbuk doktor yang ditugaskan. Kedapatan juga peserta yang lari dan menarik diri daripada majlis berkhatan ini. Keseluruhannya, majlis ini sangat berjaya dan Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat.