Tempat : Masjid Negeri Sabah

Khatib : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Khatib memulakan isi khutbah berasaskan kepada ayat Allah SWT dari surah as-Saff ayat 1-2 :

“Wahai orang beriman, mahukah kamu Aku beritahu akan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari api neraka? Iaitu kamu beriman kepada Allah, kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu; yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui”.

Khatib memberi fokus berkenaan ‘berjihad dengan harta kamu’ yang didahulukan berbanding diri atau nyawa. Beliau memberi contoh yang sangat mudah iaitu berapa jumlah yang disumbangkan ke tabung-tabung masjid apabila kita hadir terutamanya pada hari jumaat.

Katanya, apabila tabungan masjid banyak ia boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk pengimarahan masjid tetapi membantu umat Islam secara keseluruhan, misalnya tajaan pengajian ke universiti, bantuan perubatan dan seumpamanya. Sangat menyedihkan katanya, kalau jamaah jumaat masjid melebihi seribu orang (sebagai contoh), tetapi kutipannya tidak sampai seribu ringgit.

Saya tertarik dengan saranan beliau agar umat Islam berlumba-lumba memanfaatkan harta ke jalan kebaikan. Kereta yang mewah dan mahal patut dibawa ke masjid dan surau bukan terperap di dalam rumah. Pilihan yang ada sama ada kita menjadi pengawal kepada harta atau harta yang mengawal kita.