Majlis bermula sedikit lewat berbanding jadual asal. Khabarnya ADUN Pitas YB Datuk Bolkiah sudah bersedia untuk tiba  menurut jadual sekitar 8.30 pagi di Dewan Serbaguna  Pitas tapi dibawa bersarapan kerana PA system yang bermasalah. YB hanya datang sekitar jam 9.45 pagi.

Alhamdulillah, sementara menanti ketibaan YB ADUN sebagai perasmi, saya berpeluang bersembang dengan beberapa individu di sini. Antaranya meminta pandangan saya bagi memantapkan kerja-kerja dakwah di tempat mereka. Tambahan lagi di daerah ini ramai golongan muallaf dan hidup susah.

Lebih membuatkan saya teruja apabila bertemu dengan seseorang yang meneka saya dengan panggilan Abu Nuha. Dia tidak menyangka akan bertemu  saya di sini. Saya juga tidak menyangka ada orang Pitas sepertinya yang sudah mengikuti blog ini secara tetap lebih setahun lalu. Kata saya, “ada juga orang di hujung tanduk Sabah yang meminati Abu Nuha Corner”.

Saya hanya tampil ke pentas pada  jam 11.25 pagi setelah majlis perasmian dan rehat sebentar, mengisi ceramah khas sempena majlis ini sekitar 30 minit. Tempoh itu saya manfaatkan untuk membicarakan 3 perkara utama.

Pertama, tarikh 10 Muharram yang istimewa (majlis ini berlangsung pada 10 Muharram) yang disebut oleh para ulama’ sebagai hari kemenangan para Nabi kerana banyaknya peristiwa bersejarah. Kedua, tentang watak-watak dalam hijratur Rasul yang mesti diambil iktibar. Ketiga, memulakan perubahan diri dengan hijrah ke arah yang lebih baik dalam kehidupan sebagai hamba Allah SWT.

Tahniah kepada semua penerima anugerah di majlis ini, tahniah juga kepada semua yang terlibat bagi menjayakan program ini. Mudah-mudahan menjadi amal baik dan menjadi saham yang berguna di hadapan Allah SWT. Terima kasih atas undangan penganjur khususnya Ustaz Kamal Sindong, PPTA JHEAINS Pitas. Insya Allah ada umur saya berhajat untuk datang lagi ke Pitas.