Selesai ceramah, kami – saya dan Hasmadi Hasbi yang sudi menemankan saya dalam musafir ke Pitas ini – mendaftar masuk ke bilik penginapan yang ditempah oleh penganjur untuk kami bermalam. Dahulu ketika pertama kali datang, di sini jugalah saya bermalam.

Hendak dijadikan cerita, kami berdua keluar semula, mencari restoran terdekat untuk mengisi perut yang sedang kelaparan. Di hujung deretan bangunan yang sama, ada sebuah restoran yang masih beroperasi, sedang yang lain sudah tutup lebih awal. Ketika itu sekitar 8.45 malam. Memang sunyi di pekan Pitas.

Pertarungan bola sepak Malaysia menentang Vietnam sedang berlangsung melalui kaca tv. Sementara menanti pesanan sampai, tiba-tiba saya teringatkan dompet duit. Hanya tinggal sepuluh ringgit. Fikiran saya melayang-layang mengingatkan duit yang tinggal sedikit, sementara saya meyedari jumlah kos makan malam kami mesti melebihi angka itu.

“Kak, di mana ATM bank di sini?” Saya bertanya kepada ahli keluarga pemilik restoran. Saya berkira-kira hendak mengambil duit sebentar sebelum juadah kami tiba di meja.

“Di Pitas ni tiada ATM encik. Kalau mahu ambil duit terpaksa patah balik ke Kota Marudu, sejam dari sini baru ada ATM Bank”, saya terpinga-pinga mendengar penjelasan kakak berkenaan.

Saya kurang maklum jumlah semasa penduduk daerah Pitas. Tetapi jumlah pengundinya hampir 12 ribu. Menurut kakak itu, apabila musim gaji, guru-guru terutamanya bergilir-gilir ke Kota Marudu untuk mengambil duit masing-masing. Yang ada di sini cuma BSN bergerak, yang datang dua kali seminggu.

Satu saja kesimpulan saya. Tidak patut. Oh ya, sesudah saya bongkar semula pakaian di kereta, ternyata ada sedikit duit untuk membayar ongkos makan malam kami. Cuma RM14 sahaja.