Kami sekeluarga keluar rumah dengan suasana hujan mula membasahi beberapa kawasan di Putatan. Tidak terlalu awal kerana bunyi lintas langsung (sepatutnya siaran langsung) oleh Sabah fm yang kami dengari di kereta, majlis baru bermula dengan lagu negaraku, negeri sabah dan asmaul husna.

Saya mencuba untuk parkir di perkarangan Wisma MUIS dan nampaknya mudah untuk mendapatkan tempat. Adakah tetamu tidak ramai dan majlis ini tidak mendapat sambutan?

Di ruang legar Wisma MUIS ramai orang ke hulu ke hilir. Ada yang kata, dewan sesak, tambahan tiada pemancar di ruang legar seperti biasa dilakukan menyebabkan ramai bertebaran dan akhirnya pulang. Saya langsung naik ke atas dan di pintu utama susah untuk lepas masuk kerana orang ramai bersesak di laluan.

Saya cari pintu masuk yang lain dari sisi dewan. Sebenarnya tidaklah terlalu sesak, masih ada kerusi yang kosong kalau pandai cari. Ketika sampai, Hajah Sharifah Kasif baru selesai mengumandangkan tilawahnya. Perasmian dilakukan oleh Timbalan Ketua Menteri DSP Haji Yahya Hussin. TYT bercuti  di luar negara dan Ketua Menteri tidak hadir.

Di satu sudut, saya melihat duduk santai dan bersembang seketika dengan Supt Haji Abdul Latif Ibrahim, ADC TYT yang peramah dan baik hati. Cerita dan gosip tapuk pemerintahan di istana menjadi topik kami bersama. Banyak juga cerita menarik.

Ceramah Ustaz Roslan Mohammad yang bersuara garau dan mantap menarik perhatian saya. Beliau bercerita tentang watak-watak penting dalam peristiwa hijrah. Memberi teladan kepada kita bahawa kerja dakwah menuntut kerjasama semua pihak termasuk orang bukan Islam yang turut berperanan dalam peristiwa hijrah.

Penganugerahan tahun ini menyaksikan tiada penerima Anugerah Pendakwah. Mungkin tokoh yang berkelayakan ada, tetapi tiada yang mengutarakan ke pihak urusetia untuk ditapis dan dipilih.

Hajah Faridah Datuk Abu Bakar (BERNAS) menerima Anugerah Sayyidatina Khadijah, Abdul Manap Mahmud (mantan YDP ABIM Sabah) menerima Anugerah Khalid al-Walid, Haji Jamal Tun Sakaran (Pengerusi al-Mubarak Masjid Bandaraya) menerima Anugerah Abdul Rahman Auf, Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) menerima Anugerah Khas.

Masjid ar-Rahim Pekan Keningau menerima Anugerah Masjid Cemerlang, Surau al-Bukhari SMKA Mohammad Ali Ranau menerima Anugerah Surau Cemerlang dan Taman Perkuburan Umat Islam Kg Benoni Papar menerima Anugerah ar-Raudhah.