6 Disember (Isnin)

Sekitar jam 5.30 petang, saya berada di ruang bawah Masjid Negeri bersama kawan-kawan yang lain menanti kehadiran para pembesar negeri. Jujurnya hairan juga melihat tidak ramai orang-orang besar seperti yb-yb dan menteri kabinet negeri yang hadir. Kebiasaannya waktu begini mereka sudah bersusun bagi menyambut ketibaan TYT dan Ketua Menteri.

Sahabat saya Haji Hassan seperti biasa nadanya mengatakan bahawa kalau sudah ketua menteri tiada, maka akan ramailah orang bawahannya turut sama tidak hadir. TYT sudah kami maklum bahawa beliau sedang bercuti  bersama keluarga dan berada di luar negara. Khabarnya di Australia.

Ingatan saya beralih kepada hadith pertama dalam kitab ‘hadith 40’ yang menyebut hal niat dan hijrah. Ada orang berhijrah kerana Allah dan Rasulullah. Ada orang berhijrah kerana urusan dunia. Ada orang berhijrah kerana perempuan yang ingin dinikahinya. Itu pada zaman Rasulullah SAW.

Kehadiran ke majlis seperti ini pun lebih kurang jugalah. Takkan lebih baik berbanding zaman Nabi. Ada yang hadir kerana Allah, ada yang hadir kerana arahan jabatan, ada yang hadir kerana hendak tunjuk muka dengan ketua, ada yang hadir kerana jamuan makan. Tapi apabila dimaklumi dan diketahui bahawa ketua menteri tidak dapat hadir dan hanya diwakili oleh timbalannya, maka faham-faham sajalah.

Saya teringat pula akan satu ungkapan yang disebut oleh Fudhail bin Iyadh berkenaan ikhlas. Katanya :

تركُ العمل لأجل الناس رياءٌ، والعمل لأجل الناس شِركٌ، والإِخلاصُ أن يعافيَك اللّه منهما‏

“Meninggalkan sesuatu perbuatan kerana manusia adalah riya’, sedangkan beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas adalah apabila Allah memeliharamu daripada kedua-dua perkara tersebut”.

Contoh mudah begini. Tadinya hendak datang ke masjid kerana hendak minta puji dengan orang lain. Itu namanya syirik. Kemudian dia tak jadi datang kerana dapat tahu orang yang disasarkannya membatalkan kehadirannya. Itulah riya’. Datang kerana orang, tak datang pun kerana orang.

Soal yb-yb yang tidak hadir, barangkali semuanya sedang menghadiri majlis yang sama di masjid kawasan masing-masing bersama rakyat jelata.  Barangkalilah. Yang tuduh tadi Haji Hassan, bukan saya. Sementara yang hadir pula insya Allah saya doakan semuanya datang dengan niat yang baik kerana Allah SWT. Sama-sama kita membersihkan niat masing-masing.