Archive for 9 Disember 2010


Saya suka Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru ini dengan beberapa sebab. Tapi sebab utamanya ialah pengimarahan masjid di sini banyak disertai oleh remaja. Bahasa mudahnya, kalau waktu solat dan kuliah yang biasa saya hadiri, remajalah majoriti jamaahnya. Kekuatan masjid ini pada remajanya yang aktif. Ertinya insya Allah masa depan yang baik untuk pengimarahan masjid ini.

Subuh tahun baru 1432H saya di sini bersama-sama mereka dan mengisi satu slot santapan rohani sebagaimana yang diminta oleh Ustaz Haji Abdul Razak Yusuf, imam di masjid berkenaan selaku tonggak yang memimpin anak-anak muda dan penduduk kampung sejak puluhan tahun lalu.

Pada 6&7 Disember, mereka mengadakan Khemah Ibadah di masjid berkenaan dengan pelbagai pengisian seperti diskusi fardhu ain, diskusi pengurusan janazah, diskusi solat-solat sunat, ujian bertulis, qiyamullail dan diakhiri dengan kuliah yang saya sampaikan pagi itu.

EMPAT CIRI KEBINASAAN & EMPAT TANDA KEBAHAGIAAN

Saya isikan tazkirah subuh dengan membawa satu petikan dari kitab Nasoihul Ibad (Imam Nawawi) bertajuk : ‘Empat Ciri Kebinasaan & Empat Tanda Kebahagiaan’ berdasarkan hadith Nabi SAW.

Empat ciri kebinasaan :

1) Melupakan dosa-dosa yang telah dilakukan padahal semuanya tercatat di sisi Allah;- kerana boleh jadi ia akan memandang remeh akan maksiat dan mudah pula mengulanginya. Akibatnya ia akan menjejaskan kesedaran bertaubat.

2) Mengingati kebaikan yang dilakukan padahal ia tidak tahu kebaikan itu diterima atau tidak;- ia merasa ia sudah banyak beramal kebaikan dan berpuas hati dengannya. Oleh itu ia menjadi penghalang untuk ia meningkatkan amal soleh, bahkan dibimbangi terjerumus kepada sombong dan bangga diri.

3) Memandang orang yang lebih tinggi dalam hal keduniaan; – dengan itu ia akan tidak pernah merasa puas dengan nikmat dunia sehingga menimbulkan perasaan tamak dan rakus, kemudian terperangkap untuk mendapatkan apa sahaja sekalipun dengan cara yang haram seperti menipu, rasuah dan lain-lain.

4) Memandang orang yang lebih rendah dalam perkara keagamaan. – Dengan itu ia tidak akan berusaha untuk meningkatkan kualiti ibadah dan amal solehnya kerana merasakan ada orang lain yang lebih dahsyat berbanding dirinya. Contohnya, dia merasa cukup hanya datang seminggu sekali ke masjid kerana ada orang yang datang ke masjid hanya pada hari raya.

Empat tanda kebahagiaan :

1) Mengingati dosa-dosanya yang telah lalu;- orang sebegini mempunyai benih-benih taubat untuk masa hadapannya untuk menjadi manusia lebih bertaqwa pada masa hadapan.

2) Melupakan kebaikan yang telah dilakukannya;- oleh itu ia akan terus menerus melakukan kebaikan walaupun berulang kali tanpa rasa jemu dan puas. Kebaikan yang dilakukan hanyalah nikmat dan anugerah daripada Allah SWT.

3) Memandang orang yang lebih baik kualiti agamanya;- ini sangat penting sebagai motivasi diri agar lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bersemangat untuk mencontohi orang yang lebih baik agamanya.

4) Memandang orang yang lebih rendah dalam perkara dunia. – Ini akan menimbulkan perasaan syukur dalam dirinya atas kurnia Allah kepadanya. Ia susah, tetapi ada orang lebih susah berbanding dirinya. Justeru ia selalu melihat kepada orang yang lebih rendah harta dunianya.

6 Disember (Isnin)

Sekitar jam 5.30 petang, saya berada di ruang bawah Masjid Negeri bersama kawan-kawan yang lain menanti kehadiran para pembesar negeri. Jujurnya hairan juga melihat tidak ramai orang-orang besar seperti yb-yb dan menteri kabinet negeri yang hadir. Kebiasaannya waktu begini mereka sudah bersusun bagi menyambut ketibaan TYT dan Ketua Menteri.

Sahabat saya Haji Hassan seperti biasa nadanya mengatakan bahawa kalau sudah ketua menteri tiada, maka akan ramailah orang bawahannya turut sama tidak hadir. TYT sudah kami maklum bahawa beliau sedang bercuti  bersama keluarga dan berada di luar negara. Khabarnya di Australia.

Ingatan saya beralih kepada hadith pertama dalam kitab ‘hadith 40’ yang menyebut hal niat dan hijrah. Ada orang berhijrah kerana Allah dan Rasulullah. Ada orang berhijrah kerana urusan dunia. Ada orang berhijrah kerana perempuan yang ingin dinikahinya. Itu pada zaman Rasulullah SAW.

Kehadiran ke majlis seperti ini pun lebih kurang jugalah. Takkan lebih baik berbanding zaman Nabi. Ada yang hadir kerana Allah, ada yang hadir kerana arahan jabatan, ada yang hadir kerana hendak tunjuk muka dengan ketua, ada yang hadir kerana jamuan makan. Tapi apabila dimaklumi dan diketahui bahawa ketua menteri tidak dapat hadir dan hanya diwakili oleh timbalannya, maka faham-faham sajalah.

Saya teringat pula akan satu ungkapan yang disebut oleh Fudhail bin Iyadh berkenaan ikhlas. Katanya :

تركُ العمل لأجل الناس رياءٌ، والعمل لأجل الناس شِركٌ، والإِخلاصُ أن يعافيَك اللّه منهما‏

“Meninggalkan sesuatu perbuatan kerana manusia adalah riya’, sedangkan beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas adalah apabila Allah memeliharamu daripada kedua-dua perkara tersebut”.

Contoh mudah begini. Tadinya hendak datang ke masjid kerana hendak minta puji dengan orang lain. Itu namanya syirik. Kemudian dia tak jadi datang kerana dapat tahu orang yang disasarkannya membatalkan kehadirannya. Itulah riya’. Datang kerana orang, tak datang pun kerana orang.

Soal yb-yb yang tidak hadir, barangkali semuanya sedang menghadiri majlis yang sama di masjid kawasan masing-masing bersama rakyat jelata.  Barangkalilah. Yang tuduh tadi Haji Hassan, bukan saya. Sementara yang hadir pula insya Allah saya doakan semuanya datang dengan niat yang baik kerana Allah SWT. Sama-sama kita membersihkan niat masing-masing.

 

%d bloggers like this: