Archive for 8 Disember 2010


Kira-kira 300 peserta lelaki dan perempuan terutama penjawat awam, wakil pelbagai persatuan, wakil-wakil masjid dan orang perseorangan hadir menyertai Majlis Tadarrus dan Khatam al-Quran menjelang tahun baru hijrah di Masjid Negeri Sabah pada petang isnin lalu.

Majlis berkenaan diurusetiakan oleh JHEAINS dan dipimpin oleh sepuluh orang pembimbing. Para peserta dibahagi-bahagikan kepada 10 kumpulan utama yang bertadarrus 3 juzu setiap kumpulan bermula jam 2.30 petang. Sementara itu majlis khatam al-Quran bermula pada jam 4.30 petang diketuai oleh Ustaz Datuk Haji Mokhtar Rapok dan Imam Saidin Haji Arpha.

Majlis ini pertama kali dianjurkan oleh kerajaan negeri tahun ini dan sebagai urusetia kami mendengar dan menerima pelbagai komentar dan cadangan untuk memperbaiki lagi majlis ini pada masa akan datang. Antara cadangan yang menarik ialah agar melibatkan lebih ramai peserta khususnya para pemimpin termasuk menteri dan wakil rakyat. Walaupun sasaran sebenar tidak tercapai (1000 orang), bagi saya ini adalah permulaan yang baik.

Misalnya kumpulan yang saya pimpin sebenarnya mengumpulkan beberapa jabatan, parti politik dan persatuan – yang saya agak-agak sekurang-kurangnya mengumpul tidak kurang 30-50 peserta. Namun yang hadir hanya seramai 3 orang saja dari Hospital Queen Elizabeth untuk menghabiskan 3 juzu’. Mujurlah ada anak-anak tahfiz yang datang belakangan dan ‘menjamin’ sejuzu daripadanya.

Tahniah kepada semua yang menyertai dan terima kasih kepada ahli kumpulan saya – Tahir Abdullah, Adzlan Idris dan Abd Rahman (foto atas) yang berkongsi masa bertadarrus al-Quran. Semoga semua amal itu diganjari oleh Allah SWT dengan sebaik-baiknya.

Majlis Khatam al-Quran

Tarikh : 11 Disember 2010 (Sabtu)

Masa : 8.15 malam (selepas solat isyak)

Tempat : Bilik Kuliah Masjid Negeri Sabah

Penceramah : Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar (Pusat Kefahaman Islam UiTM Kota Kinabalu / Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah)

Anjuran : Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah

Semua dijemput hadir. Sampaikan makluman ini kepada orang lain.

%d bloggers like this: