Tarikh : 5 Disember 2010

Tempat : Dewan Foochow, WP Labuan.

Anak-anak lega tiba di dewan sekitar jam 11.20 pagi. Meski tetamu sedang berduyun-duyun datang dan menjamu selera, mereka seronok berlarian di dewan yang besar dan luas. Kedua pengantin dijadualkan tiba untuk majlis resepsi pada jam 1 petang.

Siti Wandan Kartini Firdaus, 33 tahun, seorang guru di SMK Sikuati Kudat adalah pangkat anak buah kerana kami bersepupu dengan ibunya, Cikgu Zaharah Hj Md Noor, seorang pesara guru di Kudat. Ibu kepada Cikgu Zaharah merupakan kakak kepada mama kami.

Azmi Ahad, 34 tahun orang Labuan, juga seorang guru dan bertugas di SK Inanam Laut Kota Kinabalu. Seorang di Kudat, seorang di Kota Kinabalu dan disatukan di kampung halaman sendiri di WP Labuan.

Majlis perkahwinan ini begitu meriah. Ia mengumpulkan sebahagian ahli keluarga kami yang ramai dari Kudat, Kota Kinabalu, Brunei dan WP Labuan sendiri dan ada sebahagiannya pula tidak dikenali. Barangkali kesempatan yang sedikit ini memberi ruang untuk bermesra dengan mereka lantaran masing-masing mempunyai kehidupan sendiri dan hidup berjauhan.