Archive for 4 Disember 2010


USTAZAH HAMIDAH & MD MOKHTARKAN

Musafir saya dan anak-anak bermula dengan singgah ke Kg Kelanahan Papar. Nuha dan Hadi yang turut serta berebut membawa hadiah yang siap berbungkus untuk pengantin. Kami menghadiri kenduri sempena majlis pernikahan Ustazah Hamidah Amat dan suaminya Mokhtar yang berasal dari Pitas.

Kami mesra memanggilnya dengan nama Kak Midah. Ketika di Mansoura Mesir dahulu, Kak Midah adalah antara senior yang rapat khususnya dengan isteri saya. Kelahiran Nuha di Mansoura pada 2003, turut dibantu oleh Kak Midah bersama kawan-kawan yang lain. Jasa itu tidak akan kami lupakan. Sebab itu saya beriya-iya singgah supaya Nuha ingat akan orang yang pernah berjasa kepadanya.

Kami tiba ketika pengantin lelaki masih dalam perjalanan. Baru di Tuaran, kata mereka dan majlis pernikahan dijadualkan pada jam 1 tengahari. Kami tidak dapat menanti lama kerana dalam perjalanan ke kampung. Hanya doa diiringkan buat kedua pengantin semoga berkekalan hingga ke syurga.

Seramai 111 peserta menghadiri Kursus Pengurusan Janazah siri 1 anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah pagi tadi. Setelah tiga tahun kursus ini tidak diadakan, tajuk siri 1 ini ‘Sakaratul Maut’, nampaknya memaut ramai peserta untuk hadir ke bilik kuliah masjid negeri.

Siri 1 ini menumpukan perhatian tentang menghadapi saat akhir kematian, adab menziarahi orang yang sakit serta beberapa perbezaan antara adat dan syariat berkaitan pengurusan janazah. Seperti biasa, Ustaz Haji Muchlish berjaya menyampaikan ceramah beliau dengan baik termasuk melayani persoalan-persoalan semasa berkaitan tajuk berkenaan.

Insya Allah siri kedua akan diadakan pada 25 Disember akan datang di tempat yang sama. Siri kedua nanti akan mendedahkan tentang hukum hakam dan peraturan yang berkait pengurusan janazah seperti memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengkebumikan janazah serta praktikalnya sekali. Umat Islam dijemput hadir.

%d bloggers like this: