Archive for November, 2010


‘TAZKIRAH’

Saya teruja menanti terbitannya…

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah akan menganjurkan Konvesyen Halal Negeri Sabah Sempena Sambutan Ma’al Hijrah Tahun 1432 pada 06 Disember, 2010 bertempat di Dewan Sa’adah Wisma MUIS bermula jam 8.00 pagi. Sesiapa yang berminat boleh menghubungi JHEAINS No. Tel. 088 222435 sambungan unit Halal. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 03 Disember 2010.

SURAU AL-AMIN KG NAWOI

Saya berhasrat benar satu hari nanti agar dapat mengisi program di surau ini. Kata Ustaz Rojimine, kalau diatur baik-baik program tertentu seperti ceramah khas di sini, kehadiran boleh dianggarkan sekitar 30 orang. Bagi saya itu sudah bagus dalam suasana kampung yang hanya mempunyai sekitar 150 orang Islam, ertinya satu perlima yang hadir.

Dalam masa yang sama, rakan-rakan pendakwah juga sedang menumpukan perhatian untuk mengimarahkan Masjid Pekan Kiulu. Masjid berkenaan khabarnya sudah menjalankan solat jumaat selama dua tahun dan kehadiran masih belum mencapai 40 orang.

 

Secara umumnya saya perhatikan walaupun penyertaan ibadah qurban semakin meningkat, ia sebenarnya masih jauh berbanding saranan agama. Ibadah qurban dituntut dilakukan setiap tahun dengan hukum sunnat muakkad dan yang sebaiknya dalam satu rumah ada seorang yang melakukan qurban – satu rumah satu bahagian untuk melepasi hukum sunat kifayah.

Jika begitu diaplikasikan, ertinya jika dalam satu-satu taman perumahan yang mempunyai 700 lot rumah orang Islam menyertai ibadah qurban, akan terdapat 100 ekor lembu akan ditumbangkan pada musim raya qurban tersebut.

Ramai merasakan kalau tahun ini dapat tiga ekor berbanding seekor pada tahun lalu, itu sudah bagus. Benar dari sudut dakwah mesti tadarruj iaitu beransur-ansur. Namun kita mesti meningkatkan kefahaman masyarakat akan tuntutan, kelebihan dan perancangan bagi mengadakan ibadah ini dengan lebih besar.

Dengan jumlah RM400 sehingga RM500 untuk satu bahagian, dirasakan mahal untuk satu ibadah qurban setahun sekali. Sedangkan jumlah yang sama, bahkan lebih besar boleh dihabiskan untuk sekali membeli belah tidak sampai satu jam. Bahkan jumlah sedemikian boleh disediakan untuk  ansuran bulanan kereta SETIAP BULAN.

Musim qurban hari raya tahun ini sudah berakhir. Namun kita mesti merancang untuk menyertai ibadah ini pada masa akan datang. Barangkali ramai beralasan untuk meletakkan RM400 hingga RM500 memang agak susah. Tetapi sudah banyak masjid dan surau yang mengadakan tabung qurban dengan jumlah RM50 setiap bulan setiap seorang.

RM50 dibayar sehingga sepuluh bulan, maka cukup RM500 untuk satu bahagian. Kalau hendak lebih, maka jumlahnya pun lebih juga. Bayangkan, masih ramai umat Islam di pedalaman, di ceruk kampung yang tidak pernah merasai nikmat daging qurban. Bahkan ada yang menanti ibadah ini sampai ke kampung mereka kerana mereka tidak mampu membeli daging pada masa yang lain.

Korbankan sikap tamak, pentingkan diri dan seumpamanya dengan menyimpan dana untuk qurban sedikit demi sedikit. Kalau kita memahami kenapa agaknya Nabi SAW melarang umatnya yang mempunyai sedikit kelebihan harta tetapi enggan menyertai qurban agar menjauhi tempat solat Nabi SAW?

Mari kita kumpul duit untuk qurban tahun 1432H. Saya juga sudah memulakan simpanan untuk qurban akan datang.

Jadual Khatib Jumaat di Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas

USTAZ ZULHAZMI OSMAN

Ustaz Zulhazmi Osman mula saya rapati saat beliau masih bertugas di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu (KK High School) dan saya pula bertugas di Masjid Negeri sebagai imam. Beliau menghubungi secara peribadi meminta mengisi satu slot tazkirah kepada para pelajarnya dalam satu majlis ringkas di Masjid Negeri Sabah.

Sebelum itu sudah mengenali dan mendengar namanya sedikit demi sedikit.  Jujurnya, saya segan bertazkirah depan pelajarnya sedang dia ada di sisi ketika itu. Maklumlah saya orang yang baru bertatih untuk belajar menyampaikan tazkirah.

Persahabatan berlanjutan sehingga kini dan beliau yang kami kenali tidak reti berhenti mengadakan program dakwah baik kepada pelajar rendah atau menengah, kepada orang awam dan sebagainya. Pendekatannya juga pelbagai. Di Surau Taman Austral beliau antara orang kuatnya dan mengadakan pelbagai program seperti sembelihan lembu untuk aqiqah, qurban atau sembelihan biasa.

Ustaz Zulhazmi yang datang ke Sabah pada tahun 1995 berhenti daripada dunia pendidikan secara formal pada tahun 2005 setelah bertugas di Kudat dan Kota Kinabalu untuk menceburi dunia perniagaan secara sepenuh masa dengan syarikat Siddqi Auto yang menjual kereta-kereta terpakai di Taman Mesra dan Taman Austral.

Beliau juga berperanan besar dalam menubuhkan Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral bersama rakan-rakan yang lain sejak 6 tahun lalu. PPI an-Nur adalah sebuah sekolah agama rakyat (SAR) yang berdaftar dengan JHEAINS dan mempunyai lebih 100 pelajar.

Hendak mencatatkan semua sumbangannya dalam artikel ini sudah tentu terlalu banyak. Memadailah saya catatkan beliau seorang yang rajin dan kreatif, berani mencuba untuk setiap aktiviti yang dianjurkannya.

Hujung bulan ini beliau akan berpindah ke Kedah, kampung halamannya setelah 15 tahun berbakti di negeri Sabah. Namun, khabarnya beliau akan datang beberapa hari setiap bulan untuk meninjau perniagaannya. Walaupun  begitu, kami mengucapkan setinggi penghargaan atas jasa baik beliau bersama keluarga dalam dunia dakwah khususnya di Sabah.

Setuju benar saya dengan ucapan berseloroh pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Negeri Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim ketika berucap dalam majlis penyampaian daging qurban di Kg Nawoi sabtu lalu. Kampung Nawoi (baca : Nawai), insya Allah akan bersemi dalam ingatan kami kerana selalu disebut dalam beribadah ketika melafazkan niat. “Nawaitu…”

Menurut Encik Samin Tahai, wakil Ketua Anak Negeri, penduduk Islam di kampung berkenaan tidak kurang daripada 150 orang jumlahnya sejak Islam bertapak di kampung berkenaan pada tahun 1971.

Saya melihat perkembangan Islam yang semakin subur di kawasan sini. Lokasi kami membahagikan daging qurban itu merupakan bangunan kelas KAFA yang pelajarnya seramai 35 orang berumur 4 hingga 11 tahun. Selain itu, terdapat juga pemuda kampung ini yang belajar di Pusat Latihan Dakwah (PLD) Kudat dan Keningau anjuran JAKIM Sabah.

Hanya kalau dapat difikirkan, agar JHEAINS dapat mendirikan sebuah sekolah agama negeri (SAN) di kawasan ini seterusnya memberi peluang wakil anak kampung ini mendalami ilmu-ilmu Islam secara lebih formal dan sistematik.

Terdahulu, kami tiba sekitar 8.50 pagi untuk menyertai majlis penyembelihan seekor lembu yang disumbangkan oleh umat Islam. Ustaz Muchlish mengetuai penyembelihan sambil dibantu oleh ramai penduduk kampung dan rombongan PUM Sabah seramai 9 orang.

Terima kasih penduduk kampung yang sudi menerima kehadiran kami.

30 BULAN

Satu penamat pada hari yang mulia, apabila Kak Jijah Sirom yang menadah al-Quran dengan saja sejak lebih dua tahun lalu akhirnya khatam al-Quran pada 9 Zulhijjah, selasa lalu, sehari sebelum hari raya adha di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS).

Sejujurnya, saya sangat menghormati dan tabik pada beliau kerana  begitu ‘tahan tukul’ dengan saya. Beliau asalnya bermula dengan mengaji al-Quran, namun kemudian saya turunkan ke Iqra 1-6 kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beliau. Beliau akur dan bertahan, sedang rakan-rakan bersamanya sudah jauh meninggalkannya juzu’ demi juzu’.

Dalam tempoh itu ada juga beberapa rakan mereka yang lain yang menarik diri dan gugur di tengah jalan, barangkali sebahagian puncanya adalah  kerana tidak ‘tahan tukul’ tadi. Maklumlah, yang mengajar lebih muda berbanding yang belajar. Teguran apabila salah dalam bacaan, bukan semua boleh terima.

Kak Jijah saya akui puas saya tegur dan marah tapi dia masih bertahan sehingga ke hujung. Beliau mengakui pernah mengalirkan air mata dan menangis akibat teguran saya. Saat beliau menamatkan bacaan sehingga surah an-Nas, kemudian mengulang sedikit surah al-Fatihah dan lima ayat terawal  al-Baqarah, saya mengucapkan tahniah kepadanya.

Semoga pengajian dan pembelajaran akan sentiasa berterusan. Insya Allah, majlis rasminya akan diadakan pada bulan Muharram nanti.

Buku Yang Baru Dibaca :

Editor : Ustaz Riduan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Recources

Harga : RM10.00

Keilmuan yang dikahwinkan dengan segudang pengalama di medah jemaah, yang dirempuh semenjak usia belasan tahun. Jemaah diuji dengan kepayahan dan kesenangan naum beliau tetap dengan dirinya yang sederhana. Intailah dia di markas tarbiah, di halaman markas dengan hamparan rumput hijau yang dipastikan terpelihara, memungut sampah sarap agar keceriaan markas melambangkan citra perjuangan Islam yang mendambakan kebersihan.

Ustaz membersihkan tandas markas, memeriksa aliran longkang agar tidak tersumbat, walaupun beliau seorang ahli legislatif yang berkesan di Dewan Negara. Sosok seperti ini juga sukar digalang ganti, mesra dengan anak muda, mudah berkira dengan orang tua, mendengar dengan setia rintihan dan masalah ahli bawahan.

Marah dan jerkahlah, Ustaz akan membalas dengan senyuman, sedangkan dia juga mampu menunjukkan ‘kebanjarannya’. Makan bersila, berlaga lutut dengan ahli bawahan di bawah rimbunan teduh pokok, bergurau mesra merapatkan jurang pimpinan dengan akar umbi yang pelbagai.

Saya akan terus memancang sebuah ingatan Ustaz Hassan terhadap kami pimpinan pemuda, “PAS parti orang kampung, orang susah menyokong PAS kerana perjuangan Islam yang PAS bawa, jagalah akar umbi, jagalah cawangan-cawangan”.

***

Buku ini adalah koleksi 10 artikel berkenaan Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri (71 tahun) yang telah kembali kerahmatullah pada 14 Jun 2010 Hospital Selayang Selangor. Juga satu artikel oleh Allahyarham sendiri bertajuk ‘Fikrah Pemimpin’ yang pernah disiarkan oleh Harakah pada tahun 1988.

%d bloggers like this: