Khabarnya sudah sekitar 80% berjalan pembinaan kompleks baru bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah di Kinarut. Baru-baru ini datang hajat saya untuk berziarah sebentar ke lokasi berkenaan yang berjiran dengan kompleks ibu pejabat briged dan batalion 16 PGA.

SMAN Toh Puan Hajah Rahmah adalah sekolah agama (arab) milik kerajaan negeri Sabah yang terulung dan namanya sebaris dengan sekolah-sekolah agama terkenal di seluruh negara seperti Maktab Mahmud, Maahad Muhammadi dan lain-lain.

Ketika singgah sebentar, saya menyaksikan buruh pembinaan sedang sibuk bekerja. Saya dimaklumkan, sekolah baru ini dijangka mula digunakan pertengahan tahun hadapan. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar dengan semangat dan kesungguhan yang baru.