Archive for 23 November 2010


 

Secara umumnya saya perhatikan walaupun penyertaan ibadah qurban semakin meningkat, ia sebenarnya masih jauh berbanding saranan agama. Ibadah qurban dituntut dilakukan setiap tahun dengan hukum sunnat muakkad dan yang sebaiknya dalam satu rumah ada seorang yang melakukan qurban – satu rumah satu bahagian untuk melepasi hukum sunat kifayah.

Jika begitu diaplikasikan, ertinya jika dalam satu-satu taman perumahan yang mempunyai 700 lot rumah orang Islam menyertai ibadah qurban, akan terdapat 100 ekor lembu akan ditumbangkan pada musim raya qurban tersebut.

Ramai merasakan kalau tahun ini dapat tiga ekor berbanding seekor pada tahun lalu, itu sudah bagus. Benar dari sudut dakwah mesti tadarruj iaitu beransur-ansur. Namun kita mesti meningkatkan kefahaman masyarakat akan tuntutan, kelebihan dan perancangan bagi mengadakan ibadah ini dengan lebih besar.

Dengan jumlah RM400 sehingga RM500 untuk satu bahagian, dirasakan mahal untuk satu ibadah qurban setahun sekali. Sedangkan jumlah yang sama, bahkan lebih besar boleh dihabiskan untuk sekali membeli belah tidak sampai satu jam. Bahkan jumlah sedemikian boleh disediakan untukĀ  ansuran bulanan kereta SETIAP BULAN.

Musim qurban hari raya tahun ini sudah berakhir. Namun kita mesti merancang untuk menyertai ibadah ini pada masa akan datang. Barangkali ramai beralasan untuk meletakkan RM400 hingga RM500 memang agak susah. Tetapi sudah banyak masjid dan surau yang mengadakan tabung qurban dengan jumlah RM50 setiap bulan setiap seorang.

RM50 dibayar sehingga sepuluh bulan, maka cukup RM500 untuk satu bahagian. Kalau hendak lebih, maka jumlahnya pun lebih juga. Bayangkan, masih ramai umat Islam di pedalaman, di ceruk kampung yang tidak pernah merasai nikmat daging qurban. Bahkan ada yang menanti ibadah ini sampai ke kampung mereka kerana mereka tidak mampu membeli daging pada masa yang lain.

Korbankan sikap tamak, pentingkan diri dan seumpamanya dengan menyimpan dana untuk qurban sedikit demi sedikit. Kalau kita memahami kenapa agaknya Nabi SAW melarang umatnya yang mempunyai sedikit kelebihan harta tetapi enggan menyertai qurban agar menjauhi tempat solat Nabi SAW?

Mari kita kumpul duit untuk qurban tahun 1432H. Saya juga sudah memulakan simpanan untuk qurban akan datang.

Jadual Khatib Jumaat di Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas

%d bloggers like this: