Setuju benar saya dengan ucapan berseloroh pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Negeri Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim ketika berucap dalam majlis penyampaian daging qurban di Kg Nawoi sabtu lalu. Kampung Nawoi (baca : Nawai), insya Allah akan bersemi dalam ingatan kami kerana selalu disebut dalam beribadah ketika melafazkan niat. “Nawaitu…”

Menurut Encik Samin Tahai, wakil Ketua Anak Negeri, penduduk Islam di kampung berkenaan tidak kurang daripada 150 orang jumlahnya sejak Islam bertapak di kampung berkenaan pada tahun 1971.

Saya melihat perkembangan Islam yang semakin subur di kawasan sini. Lokasi kami membahagikan daging qurban itu merupakan bangunan kelas KAFA yang pelajarnya seramai 35 orang berumur 4 hingga 11 tahun. Selain itu, terdapat juga pemuda kampung ini yang belajar di Pusat Latihan Dakwah (PLD) Kudat dan Keningau anjuran JAKIM Sabah.

Hanya kalau dapat difikirkan, agar JHEAINS dapat mendirikan sebuah sekolah agama negeri (SAN) di kawasan ini seterusnya memberi peluang wakil anak kampung ini mendalami ilmu-ilmu Islam secara lebih formal dan sistematik.

Terdahulu, kami tiba sekitar 8.50 pagi untuk menyertai majlis penyembelihan seekor lembu yang disumbangkan oleh umat Islam. Ustaz Muchlish mengetuai penyembelihan sambil dibantu oleh ramai penduduk kampung dan rombongan PUM Sabah seramai 9 orang.

Terima kasih penduduk kampung yang sudi menerima kehadiran kami.