Satu penamat pada hari yang mulia, apabila Kak Jijah Sirom yang menadah al-Quran dengan saja sejak lebih dua tahun lalu akhirnya khatam al-Quran pada 9 Zulhijjah, selasa lalu, sehari sebelum hari raya adha di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS).

Sejujurnya, saya sangat menghormati dan tabik pada beliau kerana  begitu ‘tahan tukul’ dengan saya. Beliau asalnya bermula dengan mengaji al-Quran, namun kemudian saya turunkan ke Iqra 1-6 kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beliau. Beliau akur dan bertahan, sedang rakan-rakan bersamanya sudah jauh meninggalkannya juzu’ demi juzu’.

Dalam tempoh itu ada juga beberapa rakan mereka yang lain yang menarik diri dan gugur di tengah jalan, barangkali sebahagian puncanya adalah  kerana tidak ‘tahan tukul’ tadi. Maklumlah, yang mengajar lebih muda berbanding yang belajar. Teguran apabila salah dalam bacaan, bukan semua boleh terima.

Kak Jijah saya akui puas saya tegur dan marah tapi dia masih bertahan sehingga ke hujung. Beliau mengakui pernah mengalirkan air mata dan menangis akibat teguran saya. Saat beliau menamatkan bacaan sehingga surah an-Nas, kemudian mengulang sedikit surah al-Fatihah dan lima ayat terawal  al-Baqarah, saya mengucapkan tahniah kepadanya.

Semoga pengajian dan pembelajaran akan sentiasa berterusan. Insya Allah, majlis rasminya akan diadakan pada bulan Muharram nanti.