Saya tidak juga selalu balik ke kampung. Biasanya dua atau tiga kali setahun. Jadi jika ada apa-apa perubahan seperti pembangunan yang berlaku akan mudah disedari.

Foto di atas adalah pembinaan sebuah masjid di WP Labuan di bawah projek Perbadanan Labuan yang kelihatan terbengkalai. Kali terakhir saya balik Labuan pada musim hari raya aidil fitri yang lalu, keadaannya kekal seperti itu. Sebelum itu saya balik pada hujung tahun lalu, pun begitu juga.

Masjid ini khabarnya akan menggantikan Surau Baitul Makmur Kg Durian Tunjung yang berusia sekitar 35 tahun. Di surau ini saya pernah sekali menyampaikan ceramah pada akhir tahun lalu dan sambutannya amat menggalakkan.

Ada juga ura-ura masjid baru ini yang terletak di tengah-tengah antara kampung Lajau dan Kg Durian Tunjung akan menjadi masjid bersama. Kedua-dua masjid dan surau terlibat dalam pembesaran jalan raya.

Mudah-mudahan terbengkalainya masjid ini atas sebab yang munasabah dan bukannya kerana penyalahgunaan kuasa atau apa-apa penyelewengan. Ini rumah Allah, jadi sepatutnya pihak berkenaan hendaklah memberi keutamaan untuk menyegerakan pembinaannya bagi kemudahan umat Islam setempat.