Saya mahu memberi sokongan moral kepada perkembangan dan kejayaan ahli keluarga. Itulah antara  tujuan saya balik sebentar ke Labuan untuk menghadiri kenduri kesyukuran buat Muhammad Azdhann Shah Azri Onn yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR lalu.

Azdhann, 12 tahun adalah anak sulung kepada abang saya nombor dua yang bersekolah di SK Pekan 1 WP Labuan dan sering menonjol dalam  prestasi akademik dan aktiviti yang disertainya, baik di sekolah atau mana-mana pertandingan luar sekolah.

Abang Awang yang selalu menjadi panggilan manjanya di kalangan keluarga besar kami, turut mendapat kedudukan Jayyid Jiddan (sangat baik) dalam peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) yang didudukinya bagi peringkat  darjah enam sekolah rendah agama.

Terima kasih kehadiran semua tetamu yang sudi meluangkan masa bersama-sama meraikan anakanda kami. Semoga kecemerlangan ini menjadi perangsang dan akan diteruskan oleh adik-adik dan sepupu-sepupunya yang lain.