Archive for 18 November 2010


SERONOK PULANG

Tengahari hari raya adha, kami pulang berlima ke Labuan untuk menghadiri kenduri kesyukuran khusus buat kejayaan anak buah Muhammad Azdhann Shah bin Azri Onn meraih 5A dalam UPSR lalu.

Kepulangan kami berlima, saya disertai tiga orang anak – Nuha, Hana dan Hadi bersama anak buah Natasya Azeera tanpa ummi dan dua adik mereka yang kecil, tetap menyeronokkan semua. Perjalanan lancar dan cuaca agak cerah kecuali di Bongawan dan Membakut hujan turun sederhana.

Kami meninggalkan kereta di Pekan Menumbok, belayar ke WP Labuan menaiki bot laju sekitar 25 minit sebelum dijemput oleh Pakcik Onn di Terminal Feri Antarabangsa Labuan hampir jam 4 petang. Di bot laju sebelum itu, anak-anak keseronokan dan tersenyum riang apabila setiap kali bot menghempas ombak sepanjang pelayaran.

Anak-anak merasa seronok dapat berjumpa sebahagian sepupu-sepupu mereka dan bercerita tentang kisah-kisah mereka bersama-sama. Mereka mesti dididik dan diingatkan tentang persaudaraan dan pertalian darah, apatah lagi adab menghormati orang yang lebih tua seperti nenek mereka.

Kira-kira jam 10 pagi, pagi raya lalu kami berziarah ke Grace Ville Sembulan menghadiri kenduri potong rambut buat Putri Fariha Irdina binti Yahya yang kini berumur 6 bulan. Tuan rumah Yahya bin Ganal baru saya kenali beberapa bulan lalu ketika saya menyampaikan kuliah maghrib di Masjid Kg Bukit Kalam, WP Labuan.

Kenduri kecil-kecilan dihadiri oleh jamaah Masjid Negeri Sabah diketuai oleh Imam Saidin Arpha, beberapa AJK Syukbah Dakwah, serta jiran terdekat tuan rumah. Majlis diisi dengan takbir hari raya sambil sesi potong rambut dan doa selamat. Didoakan tuan rumah seisi keluarga berbahagia dengan kehadiran cahaya mata mereka.

%d bloggers like this: