Alhamdulillah, di sana sini, masjid, surau serta pelbagai organisasi mula mengadakan ibadah qurban. Surau Riyadhus Solihin Taman Austral selepas solat hari raya hari ini mengqurbankan empat ekor lembu dengan kekuatan petugas sekitar 100 orang menggembeling tenaga menyembelih, melapah serta memotong daging sebelum diserahkan kepada mereka yang berhak.

Pada esok hari, Masjid Negeri Sabah dijangka akan melakukan ibadah berkenaan dengan jumlah 15 ekor lembu, Masjid Bandaraya dengan jumlah 17 ekor lembu, Masjid Nurul Hikmah khabarnya dengan 21 ekor, UMS pula dengan 13 ekor. Demikianlah antaranya.

Ibadah qurban mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar kepada umat Islam. Selain membiasakan dengan amalan tolong menolong, memberi dan menyumbang, secara simboliknya membuang dan menghapuskan sifat kebinatangan yang ada dalam diri manusia.

Ibadah qurban seringkali mengingatkan kita akan peristiwa bersejarah Nabi Ibrahim dan keluarganya. Kisahnya bukan sekadar bermula daripada penyembelihan Nabi Ismail AS tetapi jauh sebelum itu, bagaimana Allah SWT menguji Nabi Ibrahim AS yang menimang cahayamata sesudah berusia lanjut.

Baginda diperintahkan agar menghantar anak isteri jauh-jauh ke bumi yang tandus dan kemudian ditinggalkan. Sesudah si anak remaja, dikunjungi dan disuruh sembelih pula akan anak yang tercinta itu. Bayangkan pula ketaatan dan kepatuhan ketiga-tiga beranak itu dalam menghadapi perintah Allah SWT.

Kisah ini menunjukkan sifat perhambaan yang ditunjukkan oleh mereka, tidak mengomel atau mempertikai barang sedikit pun akan perintah Allah SWT. meski pun ia kelihatan tidak masuk akal. Dari sisi lain, ketaatan Nabi Ismail AS juga menunjukkan kejayaan kedua orang tua – Nabi Ibrahim dan Hajar mentabiyah anak agar menghormati dan mengasihi ibu bapa sendiri.

Sifat perhambaan inilah menjadi misi dan visi sebagai umat Islam yang patut menjadi fokus kita. Kedapatan banyak perintah agama ditentang secara terang-terangan atau secara diam-diam walaupun mengaku sebagai orang Islam. Semoga pada tahun mendatang ibadah qurban semakin bertambah bilangannya dan dalam masa yang sama bertambah juga kesedaran dalam memupuk perhambaan kepada Allah SWT.