Malam selasa lalu, satu majlis makan malam meraikan guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Putatan diadakan di Sembulan Kota Kinabalu. Dalam organisasi PASTI Kawasan Putatan ia merangkumi sebanyak tujuh buah PASTI dengan 17 orang guru.

PASTI berkenaan ialah PASTI al-Aqsa Taman Limauan, PASTI al-Furqan Taman Pantai Lok Kawi Kinarut, PASTI Nur Fathonah Taman Pasir Putih Putatan, PASTI ar-Raihan Kg Sri Pandan Putatan, PASTI al-Hikmah Taman Sempelang, PASTI al-Hasanah, Bukit Padang dan PASTI al-Amal Kg Likas.

Cikgu Abdul Hamed Abu Bakar yang berucap dalam majlis berkenaan merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutama para guru yang telah mencurah tenaga dan keringat dalam memastikan pendidikan asas anak-anak PASTI dapat ditunaikan sepanjang sesi 2010. Komitmen dan usaha yang berterusan bagi meningkatkan kualiti pengajaran mesti digiatkan pada tahun mendatang.

Beliau juga berharap agar ibu bapa yang hadir agar terus membantu perkembangan PASTI khususnya di Putatan kerana ia adalah sebahagian tugas-tugas dakwah yang mesti diberi perhatian. Ini kerana Putatan yang merupakan antara kawasan majoriti umat Islam di pinggir bandaraya Kota Kinabalu berhadapan dengan persaingan antara kelas-kelas pra sekolah yang tumbuh begitu banyak di Kota Kinabalu dan sekitarnya.

Majlis yang sama turut meraikan tiga sahabat yang akan berpindah. Mereka ialah Ustaz Zulhazmi Osman – pindah ke Kedah, Cikgu Hashim Harun – pindah ke Selangor dan Ustaz Zainuddin Lateh – pindah ke SMK Timbua Ranau.