Alhamdulillah, Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur, Taman Austral selamat dirasmikan oleh Ketua Sektor, Sektor Pendidikan Islam  Jabatan Pelajaran Negeri Sabah Ustaz Idrus Abdul Rahman di sini pagi semalam di hadapan lebih 150 tetamu yang hadir khususnya para ibu bapa.

PPI an-Nur yang ditubuhkan sejak 5 tahun lalu merupakan sekolah agama rakyat (SAR) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan oleh JHEAINS bagi tahun 1 hingga 6.

Ustaz Idrus Abdul Rahman ketika berucap merasmikan PPI an-Nur mengucapkan tahniah atas kesedaran masyarakat mewujudkan sekolah agama rakyat berkenaan. Katanya, kesedaran masyarakat terutama ibu bapa mesti terus dipupuk dan digembeling agar pendidikan agama terus menjadi keutamaan umat Islam.

Terdahulu, Ustaz Zulhazmi Osman yang berucap mewakili pihak PPI merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya ibu bapa yang memberi sokongan kepada sekolah tersebut dengan menghantar anak-anak mereka bagi mendalami ilmu-ilmu asas agama Islam. Katanya, selain bantuan  jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran Sabah, pihaknya banyak menerima sumbangan daripada orang ramai  bagi menampung dana pembangunan sekolah tersebut.

Sekolah ini katanya bermula dengan hanya beberapa orang pelajar dan beroperasi di Surau Riyadhus Solihin kemudiannya dipindahkan ke bangunan sedia ada memandangkan peningkatan pelajar hasil keinginan ibu bapa melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan asas agama Islam. Sehingga kini PPI an-Nur mempunyai seramai 120 orang pelajar berumur 6 hingga 12 tahun dengan dukungan tujuh orang guru agama.

Majlis berkenaan turut diisi dan dimeriahkan dengan persembahan nasyid dan bacaan hafazan al-Quran serta penyampaian hadiah kepada para pelajar yang mendapat kedudukan yang terbaik dalam kelas dan juga penyampaian sijil tamat sekolah kepada pelajar darjah enam.

PPI beroperasi di tiga blok bangunan sendiri hasil sumbangan dana umat Islam seluruh Malaysia bersebelahan dengan Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Jalan Pintas, Kepayan. Bagi mengetahui maklumat lanjut, boleh berhubung dengan Ustaz Agus Latif (0168812825), Ustaz Armutra (0128360981) atau Ustaz Idhar Jaafar (0198711837).