Archive for 12 November 2010


KARNIVAL JALUR LEBAR

Selepas menghadiri Konvokesyen PASTI, sebelah petang saya dan anak – Abdul Hadi menyinggah ke Padang Merdeka untuk melihat-lihat pameran sempena Karnival Jalur Lebar Malaysia. Program itu berlangsung selama tiga hari dan kami tiba pada saat karnival sudah sampai ke penghujungnya.

Sebenarnya saya sendiri baru mengetahuinya pada tengahari melalui iklan tv. Kebetulan ada urusan di Kota Kinabalu, saya membawa anak tanpa ada hajat untuk membeli apa-apa yang berkaitan di karnival berkenaan. Syarikat-syarikat telefon komunikasi seperti tm, celcom, maxis, digi, u mobile, red tone adalah antara yang mencuri tumpuan selain jabatan dan agensi kerajaan.

Oleh kerana saya sudah mempunyai talian streamyx di rumah dan celcom broadband untuk dibawa ke mana-mana, jadi kunjungan ke karnival ini hanya sekadar bersiar-siar dan mengambil sedikit sebanyak maklumat.

Tapi satu segi yang lain, saya juga ada hasrat untuk menghentikan talian streamyx dan menggunakan  hanya satu khidmat broadband. Khidmat celcom broadband di kawasan rumah pula agak perlahan, jadi saya juga berkira-kira hendak tukar khidmat celcom broadband sekiranya mereka tidak berminat untuk memperbaiki kualiti coveragenya di kawasan ini.

 

Dua pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Amal Kampung Likas, adik Sofia Natalia binti Muhammad Shah Rizan, 6 tahun dan adik Aiman Hakim bin Suparlan (5 tahun) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibnu Sina, anugerah tertinggi bagi pelajar terbaik dalam Konvokesyen PASTI Zon Pantai Barat Sabah tahun 2010 yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu 7 November lalu.

Anugerah Ibnu Sina kepada Sofia Natalia dan Aiman Hakim disampaikan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian yang juga Naib Presiden PAS YB Tuan Haji Salahuddin Ayub dalam majlis bersejarah yang dihadiri lebih 700 tetamu termasuk ibu bapa yang mengiringi serta memberikan semangat kepada anak masing-masing.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Salahuddin menggesa umat Islam khususnya ibu bapa agar terus memberikan kepercayaan kepada PASTI bagi mendidik anak-anak peringkat umur 4-6 tahun. PASTI yang telah berusia lebih 25 tahun di seluruh negara katanya mempunyai lebih 60 ribu pelajar dan pernah menerima anugerah khas oleh Pemaisuri Agong satu ketika dahulu.

PASTI katanya menawarkan pendidikan yang berteraskan Islam sebagai dasar, menjunjung al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan utama. Dalam suasana gejala sosial dan jenayah yang semakin berleluasa, Islam mempunyai jawapan kepada semua masalah yang berlaku pada hari ini.

Selain penyampaian sijil konvokesyen kepada seramai 206 orang pelajar berumur 6 tahun yang menamatkan pembelajaran di tiga belas buah PASTI sekitar Putatan, Kota Kinabalu dan Sepanggar, turut mencuri tumpuan dalam majlis tersebut ialah enam orang pelajar bukan Islam dari PASTI al-Islah Kampung Lobou yang turut menerima sijil konvokesyen.

%d bloggers like this: