Saya beruntung dibawa oleh Che’gu Jamil Dayan menziarahi pendakwah muda yang semakin meningkat naik khususnya di negeri Perak. Ustaz Azhan Ishak baru berumur 28 tahun tetapi dengan semangat dan kudratnya telah mengasaskan Pusat Motivasi at-Taqwa di Ipoh Perak sejak Oktober 2005 lagi. Khabarnya pelancaran pusat motivasi ini telah dilancarkan oleh Allahyarham Ustaz Dato’ Ishak Baharom ketika itu.

Ustaz Azhan selaku Pengarah Pusat Motivasi At-Taqwa dan seorang pendakwah giat memenuhi hajat dan jemputan dakwah pelbagai tempat seperti di masjid, surau, sekolah, jabatan kerajaan, syarikat swasta dan NGO. Melalui Pusat Motivasi at-Taqwa ini beliau giat dan gigih menyusun dan mengatur pelbagai program pengajian, dakwah dan motivasi bersama 5 orang staf yang setia membantu perjuangan dakwah.

Saya dibawa melihat lokasi dan tapak Kompleks Tarbiyyah Raudhatul Jannah, Ipoh seluas hampir 2 ekar yang bakal diadakan majlis pecah tanahnya pada 21 November 2010 (ahad) oleh Dato’ Abu Hassan Din al-Hafiz selaku penaungnya. Lokasinya sangat nyaman dengan kawasan air terjun dan dusun buah-buahan di sekitarnya.

Kompleks berkenaan dirancang akan dilengkapi tapak perkhemahan, kemudahan kem latihan motivasi, dewan terbuka dan tandas untuk fasa yang pertama. Fasa yang kedua ialah pembinaan sebuah blok bangunan dua tingkat yang lengkap dengan surau – memuatkan 200 orang jemaah, dewan kuliyah, kafeteria, dorm asrama dan pejabat pengurusan. Manakala fasa ketiga ialah pembangunan 20 unit rumah pondok untuk pelajar dewasa/warga emas dan rumah guru/warden.

Jualan amal lot wakaf tanah kompleks berkenaan kini giat dilangsungkan dengan nilai Rm30 sahaja untuk setiap lot bagi mengumpul dana keseluruhan sebanyak RM1 juta. Sembang kami sekitar lebih sejam menyuntik semangat saya untuk mempelbagaikan strategi dan teknik dakwah kepada masyarakat kita yang pelbagai rupa dan ragam. Semoga niat, usaha Ustaz Azhan dan seluruh pendukung Pusat Motivasi at-Taqwa dirahmati dan diberkati Allah SWT. Keterangan lanjut boleh melihat blog http://kotarajataqwa.blogspot.com/