Dia sahabat baik saya sejak di Mesir.

Beliau berasal dari Perak dan beristerikan orang Bongawan Sabah. Ketika di Mesir, kami tinggal di Mansoura, 2 jam perjalanan dari Kaherah. Kedua-dua keluarga kami sangat rapat, apatah lagi lokasi kedua-dua rumah kami hanya 10 minit berjalan kaki. Ada beberapa perkara menarik sesama kami. Saya dan Iqbal berkongsi tarikh hari lahir yang sama walaupun berbeza tahun. Anak sulung kami, Nuha Wafiyyah dan Nur Batrisyia Balqis lahir selang 3 hari pada awal ogos 2003.

Saya teringat Ustazah Yati @ isteri Iqbal juga sakit-sakit perut menunggu hari hendak bersalin ketika menziarahi isteri saya yang baru bersalinkan Nuha pada 3 Ogos 2003. Mereka berdua – Yati dan isteri juga sahabat karib sejak zaman sekolah. Tiga hari kemudian, Yati bersalinkan anak sulung, Balqis. Anak-anak kami ini bersalin di rumah masing-masing, bukan di hospital atau klinik. Kenduri kesyukuran sempena kelahiran anak-anak kami ini pun kami kongsi bersama-sama. Dalam tempoh sekitar 10 bulan itulah Nuha dan Balqis membesar bersama. Apatah lagi kami saling berziarah antara rumah masing-masing.

Alhamdulillah, persahabatan dan persaudaraan itu masih kekal saat ini. Sebelum ziarah ke rumahnya pada khamis lalu di Taman Chandan Desa Simpang Pulai, terakhir kami berjumpa ialah pada dua tahun lalu saat mereka pulang bercuti ke Sabah. Iqbal menyatakan hasrat untuk berpindah ke Sabah dan mengajar di sini. Kami sangat menyokong niat mereka. Harap sahabat-sahabat di Sektor Pendidikan Islam (SPI) boleh mengikhtiarkan sesuatu.

Foto kenangan Balqis dan Nuha duduk bersama di Mansoura ketika berumur 5-6 bulan bertampal di bilik rumah kami dan Nuha selalu melihatnya. Insya Allah, menjelang hari raya Adha minggu hadapan, mereka akan datang bercuti ke Sabah selama sebulan. Nuha sudah ada empat orang adik dan Balqis ada dua adik Dengan izin Allah, Balqis dan Nuha akan bertemu lagi.