Archive for 9 November 2010



Ustaz Atiqullah sekeluarga yang berasal dari Perak ini adalah satu lagi kenalan dan sahabat baik kami seisi keluarga sejak di Mesir.

Kami suami isteri bernasib baik kerana mendapat ramai kenalan keluarga antaranya bermula dengan Ustaz Iqbal dan Yati, Ustaz Rushdi dan Noraini, Ustaz Kasbi (Allahyarham) dan Nurul Faridah dan ramai lagi. Sebahagiannya ada yang dikenal melalui program usrah unit bait muslimĀ  yang kami sertai di Mansoura anjuran Dewan Perwakilan Mahasiswa Mansoura.

Ketika tiba di Mesir, saya agak pendiam dengan rakan-rakan semenanjung. Persahabatan yang awalnya terlalu terbatas terungkai sedikit demi sedikit setelah kami berumahtangga dan tinggal pula di Mansoura, wilayah yang menempatkan lebih 700 pelajar Malaysia, majoritinya siswi.

Di Mansoura ini juga ramai pasangan yang telah mendirikan rumahtangga dan berkeluarga tinggal di sini. Bermula dengan Iqbal dan isteri, kami berkenalan dengan ramai sahabat baru yang berasal dari seluruh negeri di Malaysia. Mungkin saya tersilap, tetapi setakat yang saya ingati, kami hanya tiada kenalan berstatus keluarga dari Perlis, Negeri Sembilan dan Sarawak. Sebahagian puluhan keluarga Malaysia ini masih kami ingati dan hubungi, manakala sebahagian lagi terputus hubungan.

Atiq dan dan Kak Shelly Bee tidak salah saya diperkenalkan oleh Ustaz Iqbal. Alhamdulillah, kami mendapati mereka sahabat yang baik dan sangat peramah. Satu lagi perkongsian kami ialah anak sulung mereka Farah Norainina dilahirkan pada akhir Julai 2003, selang beberapa hari sebelum Nuha dan Balqis dilahirkan.

Persahabatan kami tiga keluarga agak rapat. Selalu berkunjungan dan bergilir tuan rumah untuk makan malam bersama, berkongsi karenah anak-anak yang sebaya umur. Kunjungan ke rumah baru mereka yang cantik di Taman Klebang Bayu Chemor buat pertama kali selepas enam tahun berpisah begitu nostalgia sekali. Gembira saya dapat bertemu mereka bersama dengan Farah, kawan sepermainan Nuha dan Balqis yang semakin cantik.

Pertemuan ditemani oleh Che’gu Jamil Dayan dan isteri, memperkenalkan dan mempertautkan ukhuwah baru antara kedua-dua keluarga mereka pula.

Dia sahabat baik saya sejak di Mesir.

Beliau berasal dari Perak dan beristerikan orang Bongawan Sabah. Ketika di Mesir, kami tinggal di Mansoura, 2 jam perjalanan dari Kaherah. Kedua-dua keluarga kami sangat rapat, apatah lagi lokasi kedua-dua rumah kami hanya 10 minit berjalan kaki. Ada beberapa perkara menarik sesama kami. Saya dan Iqbal berkongsi tarikh hari lahir yang sama walaupun berbeza tahun. Anak sulung kami, Nuha Wafiyyah dan Nur Batrisyia Balqis lahir selang 3 hari pada awal ogos 2003.

Saya teringat Ustazah Yati @ isteri Iqbal juga sakit-sakit perut menunggu hari hendak bersalin ketika menziarahi isteri saya yang baru bersalinkan Nuha pada 3 Ogos 2003. Mereka berdua – Yati dan isteri juga sahabat karib sejak zaman sekolah. Tiga hari kemudian, Yati bersalinkan anak sulung, Balqis. Anak-anak kami ini bersalin di rumah masing-masing, bukan di hospital atau klinik. Kenduri kesyukuran sempena kelahiran anak-anak kami ini pun kami kongsi bersama-sama. Dalam tempoh sekitar 10 bulan itulah Nuha dan Balqis membesar bersama. Apatah lagi kami saling berziarah antara rumah masing-masing.

Alhamdulillah, persahabatan dan persaudaraan itu masih kekal saat ini. Sebelum ziarah ke rumahnya pada khamis lalu di Taman Chandan Desa Simpang Pulai, terakhir kami berjumpa ialah pada dua tahun lalu saat mereka pulang bercuti ke Sabah. Iqbal menyatakan hasrat untuk berpindah ke Sabah dan mengajar di sini. Kami sangat menyokong niat mereka. Harap sahabat-sahabat di Sektor Pendidikan Islam (SPI) boleh mengikhtiarkan sesuatu.

Foto kenangan Balqis dan Nuha duduk bersama di Mansoura ketika berumur 5-6 bulan bertampal di bilik rumah kami dan Nuha selalu melihatnya. Insya Allah, menjelang hari raya Adha minggu hadapan, mereka akan datang bercuti ke Sabah selama sebulan. Nuha sudah ada empat orang adik dan Balqis ada dua adik Dengan izin Allah, Balqis dan Nuha akan bertemu lagi.

%d bloggers like this: